POLIS KELUARKAN LAKARAN WAJAH SUSPEK ROMPAKAN KEDAI EMAS DI KEPONG
POLIS KELUARKAN LAKARAN WAJAH SUSPEK ROMPAKAN KEDAI EMAS DI KEPONG
KUALA LUMPUR – Polis mengeluarkan satu lakaran wajah dan beberapa imej gambar empat suspek yang disyaki terbabit dalam rompakan di sebuah kedai emas di Kepong, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata lakaran wajah salah seorang daripada empat suspek itu berdasarkan keterangan saksi manakala beberapa gambar suspek dan motosikal yang digunakan diambil daripada kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan,lapor MG ONLINE.
Beliau berkata dua motosikal yang digunakan dalam rompakan tersebut dikenal pasti jenis Yamaha Y150ZR berwarna hitam dan firus dengan menggunakan nombor plat pendaftaran palsu.“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan suspek boleh menyalurkan maklumat berkenaan ke Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Sentul di talian 03-40482206 dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian tersebut suspek yang memakai topeng muka dan bertopi keledar, serta bersenjatakan tukul dan kapak telah memecahkan almari pameran dan melarikan sejumlah barang kemas berupa rantai leher serta gelang tangan bernilai kira-kira RM50,000.
Dalam perkembangan lain, polis sedang mengesan lapan lelaki tempatan disyaki terlibat dalam pergaduhan di tempat letak kereta Rumah Pangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Setapak Jaya, di sini, kelmarin.