POLIS KELANTAN BUAT 4 SJR
UNTUK HALANG PENDUDUK DARI ZON MERAH MASUK
KOTA BHARU: Polis Kelantan memperketatkan empat sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan di tiga sempadan negeri iaitu Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli, berkuatkuasa tengah malam tadi.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, berkata SJR berkenaan bagi memperketatkan pemeriksaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Semenanjung, kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.
Katanya, pihaknya mengadakan SJR di Tok Bali dan Bukit Yong di daerah Pasir Puteh bagi memeriksa mereka yang datang dari Terengganu, manakala Gua Musang membabitkan laluan ke Kuala Lipis dan Lembah Klang, serta Jeli bagi laluan ke sebelah Utara bagi membendung mereka yang akan balik ke negeri Kelantan, terutamanya dari zon merah seperti Selangor dan Kuala Lumpur.
“Mana-mana individu yang mempunyai kelulusan perjalanan iaitu surat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditapis selain perlu menjalani ujian calitan COVID-19 di lokasi SJR bagi memastikan mereka bebas daripada wabak berkenaan.
“Bagi individu yang mengemukakan alasan tidak kukuh dan tidak munasabah serta tidak mempunyai surat kebenaran, pihak kami akan mengarahkan mereka untuk pulang, namun bagi hal kebajikan ia diutamakan, tetapi janganlah beri alasan palsu atau karut.
“SJR yang diadakan ini beroperasi 24 jam dengan bilangan anggota polis yang ditempatkan di setiap lokasi adalah seramai tujuh orang dan pada masa sama, kita juga memohon bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk bersama-sama dalam tugasan ini,” katanya dalam sidang media disiarkan BH Online.
Shafien berkata, sehingga ke hari ini, pematuhan rakyat Kelantan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang penularan COVID-19 berada pada tahap memuaskan iaitu sebanyak 95 peratus.