Polis kejar kenderaan kes curi, dua suspek diburu
Foto atas : Hilux warna putih terbabas dan terbalik, dua suspek di dalam sempat melarikan diri ke dalam hutan, semalam.
TEMERLOH : Pasukan polis mengejar dua buah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux berwana putih dan kelabu yang disyaki melakukan kes curi kabel di hadapan Stesen Minyak Petronas, KM 4 Jalan Maran, Temerloh, pada jam 3.53 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, atas maklumat diterima daripada orang awam, kedua-dua kenderaan tersebut telah melarikan diri dari tempat kejadian ketika kenderaan polis (MPV) tiba sehingga ke Kampung Paya Jauh, sejauh kira-kira 15 kilometer, dekat sini.
Katanya, MPV telah mengejar dan cuba menghalang dua kenderaan itu sehingga masuk ke persimpangan Kampung Charuk Puting.
“MPV pertama yang mengejar kenderaan itu turut memohon minta bantuan sebuah lagi MPV dan Unit Rondaan Bermotosikal dan sampai di kebun kelapa sawit berdekatan Kampung Batu Bor, Chenor.
“Sebuah Hilux berwarna putih telah merempuh pagar dawai di kebun tersebut menyebabkan hilang kawalan dan terbabas serta terbalik,” katanya hari ini.
Katanya, dua suspek lelaki yang berada di dalam Hliux putih telah melarikan diri ke dalam hutan, manakala sebuah lagi kenderaan Hilux berwarna kelabu gagal diekori.
“Pemeriksaan lanjut ke atas Hilux yang terbabas itu telah ditemukan 50 batang kabel optik yang telah dipotong dan berukuran sepanjang satu meter setiap satu bertaburan di atas tanah.
“Turut dijumpai beberapa peralatan untuk mencuri seperti pemotong kabel berada di dalam kenderaan itu,” katanya.
Mazlan berkata, manakala siasatan di tempat berlaku kecurian terdapat sebatang kabel yang telah ditarik sepanjang kira-kira 100 meter yang tidak sempat diambil.
“Tiada kesan cap jari yang ditemui di dalam Hilux yang terbabas kerana keadaan kenderaan itu kotor serta berminyak.
“Unit anjin pengesan K9 telah dipanggil untuk membantu mengesan suspek yang telah melarikan diri,” katanya.
Katanya, pihak polis menemukan 43 kabel besar, 43 kabel kecik, sebuah Hilux berwarna putih,pemotong kabel, satu kad peneganalan suspek, sebuah telefon bimbit dan satu tali pita merah dan dianggarkan kerugian RM10,000.
“Semakan ke atas dua buah hilux tersebut tidak dilaporkan dicuri dan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu.
“Pihak polis sedang memburu semua suspek yang terbabit dengan kes ini. Kes diklasifikasi di bawah seksyen 379 KK,” katanya.
Sumber : Berita Harian.