POLIS KAWAL KETAT VAKSIN COVID-19
POLIS KAWAL KETAT VAKSIN COVID-19
KUALA LUMPUR: Kawalan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap vaksin COVID-19 yang dijadualkan tiba Ahad ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dilakukan semaksimum mungkin bagi mengelak sebarang kemungkinan tidak diingini.
PDRM pada masa ini bersiap-sedia untuk melakukan penugasan membabitkan proses penghantaran vaksin dari KLIA ke stor simpanan di Subang sebelum diedarkan ke empat lagi lokasi simpanan lain di seluruh negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata walaupun pihaknya tidak menerima maklumat berhubung cubaan untuk mensabotaj sewaktu proses penghantaran, penyimpanan dan pengedaran dibuat, setiap pegawai dan anggota kini berada dalam tahap siap sedia.
“Kita mengambil kira semua perkara-perkara luar jangkaan, kemungkinan ada orang sakit jiwa yang cuba nak melakukan rampasan masa dalam perjalanan atau yang paling saya bimbangkan sekali sekiranya berlaku kemalangan semasa proses membawa vaksin ini sekali gus menyebabkan ia rosak dan tidak dapat digunakan.
“Harus diingat, vaksin ini bukannya murah dan saya mengambil kira bahawa ia tidak boleh dibeli dengan serta-merta dan proses mendapatkannya adalah sukar kerana negara perlu melalui proses membuat tempahan untuk mendapatkannya dan sekiranya rosak negara akan mengalami kerugian itulah sebabnya PDRM amat berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui BH Online.
Abdul Hamid berkata, beliau sudah memberi jaminan kepada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa PDRM bersedia memenuhi semua tuntutan dan keperluan dari segi kawalan keselamatan sepanjang proses pengawasan vaksin itu.
“Saya mengambil serius keselamatan vaksin berkenaan, sekiranya berlaku sabotaj, kami khuatir ia nanti akan menimbulkan keraguan dalam kalangan orang ramai yang beranggapan bahawa vaksin mungkin telah dicemari. Itu yang kita takutkan jadi sebolehnya saya mahukan kawalan 100 peratus,” katanya.
Beliau berkata, proses pengawalan akan dilengkapkan dengan kawalan Unit Kereta Peronda (MPV), motosikal pengiring serta penguatkuasaan sewajarnya termasuk kawalan 24 jam di stor penyimpanan vaksin.
“Kita tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan vaksin ini termasuk sebarang cubaan curi, malah kami turut akan menempatkan satu kenderaan Balai Polis Bergerak di stor penyimpanan,” katanya.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh, semua vaksin Pfizer itu akan dibawa ke stor simpanan di Subang, sebaik tiba dari KLIA sebelum diasingkan untuk dibawa ke Bayan Lepas, Pulau Pinang bagi zon utara; Senai, Johor, bagi zon Selatan; Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.
Vaksin yang disimpan di stor simpanan Subang juga akan diedarkan untuk zon tengah.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata, tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab mencari publisiti murahan dengan memuatnaik pelbagai perkara negatif berkaitan penugasan polis berkaitan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) adalah satu perkara yang tidak wajar dilakukan.
Walaupun dilatih untuk sentiasa berdisiplin dalam menjalankan tugas, setiap pegawai dan anggota yang bertugas di lapangan mempunyai hati dan perasaan sama seperti orang awam lain.
Abdul Hamid berkata, beliau sememangnya menyedari terdapat beberapa kes yang berlaku hingga menimbulkan pelbagai isu negatif menerusi laman sosial kebelakangan ini namun ia bukanlah satu lesen untuk orang awam memperlekeh dan mempersendakan pasukan PDRM.
“Sejujurnya saya katakan bilangan mereka yang jujur dan ikhlas dalam melaksanakan tugas khususnya semasa pelaksanaan sekatan jalan, Operasi Pematuhan SOP dan penugasan di kawasan sempadan adalah jauh lebih besar berbanding satu dua atau tiga kes yang mencemarkan nama baik pasukan ini.
“Mereka juga (petugas di lapangan) adalah manusia yang ada tahap kesabaran, walaupun dilatih untuk berdisiplin tetapi apabila berdiri berjam-jam lamanya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, berpanas, berhujan tiba-tiba diuji dengan kerenah tidak masuk akal oleh segelintir pihak yang cuba memperlekehkan warga PDRM ini tidak dapat diterima sama sekali,” katanya.
Abdul Hamid memberikan jaminan bahawa setiap pegawai dan anggota PDRM yang dikesan melakukan kesalahan tidak terlepas daripada tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada selain tindakan dalaman pasukan.
Bagaimanapun, katanya, tindakan segelintir individu yang memuat-naik situasi yang berlaku selepas mereka berhadapan dengan pemeriksaan polis dalam laman sosial demi mencari perhatian pengikut laman sosialnya boleh membawa imej negatif kepada umum.
“Saya berharap sangatlah kepada masyarakat supapa tidak berbuat sesuatu seolah-olah memperlekehkan dan cuba menguji kesabaran pegawai dan anggota saya yang berkhidmat di lapangan dengan sengaja melakukan sesuatu sehingga cuba menunjukkan imej negatif kepada PDRM melalui media sosial.
“Saya faham tentang timbul perasaan cemas, kecewa dan marah dalam kalangan orang ramai namun sekiranya masyarakat dan polis saling faham dan memahami antara satu sama lain maka suasana yang harmoni dapat diwujudkan,” katanya, lapor Bernama.
Abdul Hamid turut memahami perasaan yang timbul dalam kalangan masyarakat ketika berhadapan dengan penugasan pegawai dan anggotanya namun berharap supaya semua pihak bersama-sama mengambil tanggungjawab dan menghargai setiap tugas dan peranan yang dilakukan oleh pihak polis.
Sabtu lalu, tular dua rakaman menerusi laman sosial Twitter dan Instagram dakwaan dua wanita yang menyatakan berhadapan dengan gangguan semasa melalui sekatan jalan termasuk satu gangguan seksual semasa interaksi antara pengguna jalan raya dan seorang anggota polis yang dikesan berlaku di Jalan Duta.