POLIS HONG-KONG RAMPAS RM229.4 JUTA KETAMIN
POLIS HONG-KONG RAMPAS RM229.4 JUTA KETAMIN
HONG KONG: Polis merampas 682 kilogram (kg) ketamin yang dianggarkan bernilai HK$437 juta (RM229.4 juta), menjadikannya rampasan terbesar membabitkan barang larangan itu.
Ketua Biro Narkotik, Superintendan Lam Man-han, semalam berkata ketamin terbabit dikirimkan dengan kapal ke kota itu dari Pakistan, menggunakan bungkusan yang dilabel makaroni.
Beliau berkata, ia adalah rampasan terbesar pernah dilakukan sejak pada 2007.
GAMBAR HIASAN
Pada awalnya, polis merampas ketamin bernilai HK$23 juta (RM12.1 juta) yang disembunyikan dalam tong dilabel sebagai kosmetik, lapor Agensi.
Pada awalnya, polis mendapati sebuah rumah pangsa yang disewa di kawasan perumahan persendirian di Yuen Long digunakan bagi menyimpan bekalan dadah selain dijadikan pusat pengagihan.
Rabu lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun sejurus selepas dia meninggalkan rumah itu dan merampas dua kg ketamin dalam beg galasnya selain dadah seberat 5.5 kg ditemui dalam rumah pangsa berkenaan.
Selepas mendapati bekalan ketamin diambil dari gudang Kwai Chung, pegawai polis mengiringi suspek ke lokasi terbabit dan merampas dadah seberat 674.8 kg.
“Terdapat lebih 1,650 kotak makaroni dan spaghetti di gudang terbabit, selain lebih 1,600 beg ketamin ditemui tersembunyi dalam 71 kotak.
“Setiap beg berkenaan berisi 400 gram dadah,” kata Superintendan Kanan, Ng Kwok-cheung pada satu sidang media.
Menurut beliau, siasatan mendapati kiriman terbabit tiba di Hong Kong dari Pakistan pada awal Januari lalu.
Dengan penemuan itu, polis menahan suspek yang juga penganggur berusia 23 tahun untuk soal siasat kerana disyaki mengedar dadah.