POLIS DISYAKI MABUK TEMBAK MATI 3 MANGSA
POLIS DISYAKI MABUK TEMBAK MATI 3 MANGSA
JAKARTA : Seorang anggota polis yang dipercayai mabuk dan enggan membayar bil minuman keras bertindak menembak mati tiga individu dalam satu kejadian di sebuah kafe di Cengkareng, Jakarta Barat.
Menurut media tempatan, dalam kejadian kira-kira 4 pagi semalam, mereka yang terbunuh ialah pelayan dan juruwang kafe serta seorang tentera Indonesia.
Kejadian itu menjadi tular di media sosial di Indonesia, mempersoalkan bagaimana kafe berkenaan masih beroperasi ketika pelaksanaan Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat yang hanya membenarkan semua restoran dan kafe dibuka sehingga 8 malam sahaja, lapor Bernama.
Menurut laporan media tempatan, suspek enggan membayar bil minuman keras berjumlah Rp3.3 juta (RM1,000) sebelum terjadi pertengkaran dengan juruwang kafe berkenaan.
GAMBAR HIASAN
Suspek kemudiannya mengeluarkan senjata api dan menembak empat mangsa, tiga daripadanya maut, manakala seorang lagi iaitu pengurus kafe berkenaan cedera.
Ketua Polis Metro Jakarta Barat, Ady Wibowo dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian berkenaan.
Beliau berkata polis masih melakukan siasatan terperinci dan mengesahkan kejadian tembakan yang menyebabkan tiga orang maut, “ katanya.
Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.