Polis buru tiga individu kes rusuhan Genting
Polis buru tiga individu kes rusuhan Genting
BENTONG – Polis sedang giat memburu tiga individu yang masih bebas bagi membantu siasatan kes rusuhan di pusat beli-belah SkyAvenue, Genting Highlands pada 10 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan dikenal pasti sebagai Khoo Kim Fatt dan Gopala Krishnan A/L M Nadaraja, masing-masing warganegara Malaysia, serta Zhang He, warganegara China.
Menurutnya, usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
“Setakat ini, lapan lelaki sudah ditahan di beberapa lokasi sekitar Genting Highlands, Kuala Lumpur dan Selangor, semua suspek yang terdiri daripada lima lelaki tempatan dan tiga warga asing berusia antara 28 hingga 61 tahun.
“Turut dirampas ialah sebilah pisau dan sebatang besi yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zaiham berkata, polis masih memerlukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan ketiga-tiga suspek yang masih bebas.
Katanya, maklumat boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Daerah (DCC) Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau turut memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.-SAHIH