Polis buru pemandu terbabit kes langgar lari
Polis buru pemandu terbabit kes langgar lari
JERANTUT – Polis sedang mengesan seorang pemandu kereta jenis Proton Saga yang dipercayai terbabit dalam kemalangan langgar lari sehingga mengorbankan nyawa seorang penunggang motosikal di Kilometer 3, Jalan Jerantut–Maran, kira-kira jam 9.30 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azahari Mukhtar berkata, pemandu kereta berkenaan dipercayai melarikan diri sejurus selepas kemalangan berlaku.
Menurutnya, mangsa, Pang Ah Sang, 82, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Honda C100 dari rumahnya menuju ke kebun di Kampung Batu 57 sebelum motosikalnya bergesel dengan sebuah kereta Proton Saga.
“Kereta berkenaan dipercayai dipandu secara cuai dan pemandunya telah melarikan diri selepas kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, identiti pemandu dan nombor pendaftaran kenderaan terbabit masih belum dikenal pasti dan sedang dalam siasatan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk proses bedah siasat.
Azahari berkata, keadaan jalan ketika kejadian dilaporkan lurus dan kering, manakala cuaca pula baik.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Jerantut atau tampil membantu siasatan. – SAHIH
