POLIS BONGKAR ASP HIDUP MEWAH
POLIS BONGKAR ASP HIDUP MEWAH: DIPERCAYAI TERIMA HASIL DARI TAUKE JUDI
PETALING JAYA: Kemewahan luar biasa seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) terbongkar selepas lelaki itu dipercayai bersekongkol dengan tauke judi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, penjawat awam yang berusia dalam lingkungan 30-an itu memiliki aset seperti kereta, rumah mewah dipercayai hasil menjadi tali barut kepada tauke judi di sebuah negeri di utara tanah air.
TAN SRI ABDUL HAMID BADOR
Difahamkan, pegawai itu yang bertugas di negeri berkenaan sejak 11 tahun lalu membongkarkan operasi kepada tauke judi menyebabkan serbuan yang dirancang tidak berhasil.
Menurut Abdul Hamid, siasatan mendapati pegawai yang bertugas di bahagian siasatan jenayah itu turut memiliki perniagaan kedai runcit.
“Saya telah mengarahkan ASP itu ditukarkan serta-merta sementara siasatan dan tindakan tatatertib dikenakan terhadap pegawai itu,” katanya dalam satu wawancara khas bersama KOSMO!ONLINE di Bukit Aman di sini semalam.
Abdul Hamid tidak menafikan tempoh perkhidmatan pegawai itu yang terlalu lama di bahagian jenayah mendorong dia bertindak sedemikian.
“Apabila seseorang itu dalam perjawatan yang sensitif lebih dari waktunya, integritinya tercalar sehingga sanggup menjadi pengkhianat kepada pasukan polis dan negara.
“Orang sudah jelik dengan kenyataan saya memberi amaran. Kali ini saya membuktikan bahawa ‘idah’ yang diberikan itu sudah selesai dan tindakan seterusnya adalah membawa mereka yang terlibat ke mahkamah,” kata beliau.