Polis Bentong jejaki dua suspek kes ragut barang kemas
Polis Bentong jejaki dua suspek kes ragut barang kemas
BENTONG – Dua orang suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun dipercayai terbabit dengan kes ragut di daerah ini sedang dijejaki polis.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, polis telah menerima laporan dua kes ragut pada 6 November 2022 (Ahad) dan satu kes lagi pada 7 November 2022 (Isnin) dan turut menjadi tular dalam akaun Facebook ‘Kami Penduduk Bentong (Official).
“Hasil siasatan menerusi percakapan kesemua mangsa, suspek merupakan dua orang lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun menaiki motosikal memakai jaket hitam, berseluar biru serta mengenakan topi keledar bertutup.
“Laporan mangsa mendapati suspek telah meragut dan melarikan barang kemas berupa rantai leher. Jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM14,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaiham, berikutan kejadian itu, IPD bentong telah menubuhkan pasukan ‘task force’ dalam usaha menjejaki kedua orang suspek terbabit.
“Kita telah meningkatkan penugasan pencegahan dengan menambah jumlah rondaan dan pemeriksaan di sekitar bandar Bentong.
“Dua kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 392 Akta Kanun Keseksaan dan satu kes lagi di bawah Seksyen 394 akta yang sama,” katanyya.
Zaiham meminta orang ramai lebih berwaspada dan berhati-hati ketika berurusan di luar rumah, sekitar bandar ini dan tempat lain.
“Polis juga meminta kerjasama orang ramai sekiranya terserempak mana-mana individu atau kenderaan yang mencurigakan di kawasan perumahan masing-masing supaya segera menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD bentong menerusi ralian 09 2222222 atau mana-mana balai polis berdekatan.-SAHIH.