POLIS AKAN PANGGIL AHMAD ZAHID, ANWAR IBRAHIM BERI KETERANGAN – KPN
POLIS AKAN PANGGIL AHMAD ZAHID, ANWAR IBRAHIM BERI KETERANGAN – KPN
KLANG: Polis akan memanggil Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Anwar Ibrahim bagi merekodkan keterangan berhubung rakaman perbualan audio yang dikaitkan dengan kedua-dua mereka, yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata ia adalah tindakan yang perlu diambil dan apabila tiba masa yang sesuai, pegawai penyiasat akan merakamkan kenyataan kedua dua mereka, lapor FMT.
“Sekiranya mereka merasakan diri mereka teraniaya atau difitnah, mereka boleh tampil untuk membuat aduan, kertas siasatan dijalankan melalui sudut ini,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Selangor, di Tapak Padang Surau An-Nur di sini hari ini.
Beliau berkata sekiranya terdapat banyak laporan mengenai perkara itu dibuat oleh orang ramai kerana merasa tertekan, cemas dan gempar, maka pihak polis mempunyai sebab untuk membuka kertas siasatan dan menyiasat perkara itu.
Katanya kertas siasatan telah pun dibuka berkenaan rakaman berkenaan dan rakaman audio telah dihantar ke makmal forensik untuk mengesahkan kesahihannya.
Rakaman audio perbualan di antara dua individu yang dikatakan mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar tersebar itu telah tersebar dengan meluas di media sosial dan blog, didakwa berlaku selepas Perhimpunan Agung Umno, baru-baru ini.
Sementara itu Abdul Hamid berkata beliau tidak dapat memberikan tempoh berapa lama masa akan diambil untuk analisis rakaman audio berkenaan.
“Dalam apa juga kes kita cuba dapatkan penyelesaian yang cepat agar siasatan itu disegerakan,” katanya.
“Hasil analisis akan diangkat kepada Jabatan Peguam Negara,” tambahnya.