PN Perlu Segera Tubuh ‘Grand Coalition’ Hadapi PH-BN – BERSATU Hulu Langat
PN Perlu Segera Tubuh ‘Grand Coalition’ Hadapi PH-BN – BERSATU Hulu Langat
HULU LANGAT – Perikatan Nasional (PN) disaran membentuk strategi ‘Grand Coalition’ dengan segera sebagai langkah berdepan kekuatan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang semakin diterima akar umbi pelbagai kaum.
Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning memberi isyarat jelas bahawa penyatuan PH-BN bukan sekadar persefahaman kepimpinan, malah turut mendapat sokongan daripada penyokong bawahan kedua-dua blok.
“BN masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Melayu, manakala PH pula terus meraih dukungan komuniti bukan Melayu. Gabungan ini menjadi cabaran besar buat PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pendekatan politik mono-identiti yang selama ini menjadi pegangan PN perlu diubah kepada strategi lebih inklusif, dengan memberi tumpuan terhadap isu dan agenda nasional yang melibatkan semua kaum.
“Dalam era media sosial, penyokong turut memainkan peranan sebagai jurucakap tidak rasmi parti. Maka, pelan komunikasi strategik perlu dirangka secara menyeluruh agar naratif parti disampaikan dengan konsisten oleh semua peringkat,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau mencadangkan agar PN membuka ruang kepada penyertaan parti-parti kecil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah satu payung rasmi, sekali gus memperkukuh jenama dan identiti PN sebagai satu entiti tunggal, bukannya berasingan mengikut parti komponen.
“Sudah tiba masanya untuk PN melakukan penjenamaan semula secara drastik. Rakyat kini tidak hanya menilai masalah yang diketengahkan, tetapi mencari pendekatan penyelesaian yang ditawarkan,” katanya.
Adakah ‘Grand Coalition’ bakal menjadi nafas baharu PN? Hanya masa akan menjawab.-SAHIH