PMX AJAK ANAK MUDA DUKUNG USAHA KERAJAAN JADI NEGARA HEBAT
PMX AJAK ANAK MUDA DUKUNG USAHA KERAJAAN JADI NEGARA HEBAT
KUANTAN – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak anak-anak muda untuk bersama-sama kerajaan menjadikan negara ini sebuah negara termaju di rantau ini.
Namun untuk berada di tahap itu negara ini perlu memenuhi beberapa syarat iaitu keadaan negara mesti aman, politiknya stabil konsisten dalam pengurusan negara dengan mempunyai pemimpin yang berkualiti dan bertanggungjawab.
Seterusnya negara mesti bebas rasuah serta harus melawan rasuah dengan tegas dan berkesan.
Dengan memenuhi syarat-syarat ini, negara dapat meningkatkan taraf kehidupan rakyatnya dan mencapai kemajuan yang seimbang dan lestari.
“work hard save this country dan anak anak muda patut faham mengapa saya bercakap soal menyelamatkan negara kerana negara kita mampu diangkat sebagai negara hebat dan saya bercita cita dan saya percaya anak anak bersama saya untuk sama sama berusaha mengangkat martabat negara, boleh atau tidak? Maknanya kita harus belajar dengan tekun tekun membaca dengan cukup rajin menjadi manusia yang berharga dan bernilai”
Anwar berkata begitu ketika berucap pada program ‘TemuAnwar’ di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Kuantan pada Isnin.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek,Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Senator Fuziah Salleh dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki.
Hampir 5 ribu pelajar-pelajar aliran teknikal sekitar Kuantan hadir pada program yang berkongsi hala tuju negara, menggalakkan pelajar mempunyai nilai-nilai yang boleh menyumbang kepada kejayaan negara berkonsepkan Malaysia MADANI.
Justeru, Anwar menyeru semua anak muda agar terus berusaha meningkatkan mutu pendidikan, menjadi manusia yang bernilai dan menyelamatkan negara ini.-SAHIH.