PM UCAP TAHNIAH PADA ZII JIA
PM UCAP TAHNIAH PADA ZII JIA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Lee Zii Jia selepas jaguh perseorangan lelaki badminton negara itu menjuarai saingan berprestij, Seluruh England malam ini.
Beliau percaya seluruh peminat sukan negara, khususnya badminton tentunya begitu teruja dengan kejayaan Zii Jia menundukkan pemain nombor dua dunia dari Denmark, Viktor Axelson.
“Kejayaan ini sudah tentu memberi makna besar dan suntikan motivasi buat pemain muda negara berusia 23 tahun ini selepas ditewaskan oleh pemain yang sama di peringkat separuh akhir kejohanan ini, tahun lalu.
“Lebih manis Viktor Axelson adalah juara bertahan bagi kejohanan ini. Syabas sekali lagi buat Lee Zii Jia,” katanya dalam catatan terbaharu di akaun Facebooknya.
Terdahulu, Zii Jia mencipta sensasi apabila merangkul gelaran Seluruh England buat kali pertama selepas menundukkan Axelsen 30-29, 20-22, 21-9.
Kemenangan itu melunaskan dendam Zii Jia ke atas Axelsen yang menewaskannya ketika aksi separuh akhir edisi tahun lalu.
Kejayaan Zii Jia yang menghuni ranking ke-10 dunia itu menamatkan penantian selama empat tahun Malaysia bagi muncul juara perseorangan lelaki selepas kali terakhir dilakukan Datuk Lee Chong Wei pada 2017, lapor BH ONLINE.
Selaku juara, Zii Jia membawa pulang hadiah wang tunai AS$59,500 (RM244,344).
Menurut Muhyiddin, beliau berharap kejayaan yang diraih Zii Jia itu mampu menjadi perangsang untuknya bekerja lebih keras dan menjadi lebih cemerlang pada masa hadapan.
“Perjalanan karier anda masih jauh. Tahniah juga kepada BAM dan barisan kejurulatihan atas kejayaan ini. Syabas Lee Zii Jia! Anda wira kebanggaan negara,” katanya.