PM SIHAT SELEPAS DIVAKSIN
PM SIHAT SELEPAS DIVAKSIN
KUALA LUMPUR: Sehari selepas menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 satu dos Pfizer-BioNTech di negara ini, Muhyiddin Yasin semalam memaklumkan dirinya sihat dan tidak mengalami gejala demam atau kesan sampingan lain.
Perdana Menteri menerusi video dimuat naik di Facebook hari ini, turut melahirkan keyakinan vaksin diterima itu selamat dan berkesan.
“Alhamdulillah, hari ini (semalam) hari kedua selepas semalam (kelmarin) saya dapat suntikan vaksin COVID-19, semuanya berjalan dengan baik.
“Saya yakin ini adalah vaksin selamat, berkesan. Ramai tanya saya hari ini bagaimana keadaan saya? Alhamdulillah saya berasa sihat, tiada rasa demam dan luar biasa.
“Makan dan selera macam biasa. Bagi saya vaksin yang saya terima ini agak baik,” katanya.
Muhyiddin menegaskan masih mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka walaupun sudah menerima suntikan vaksin COVID-19.
“Masih teruskan amalan SOP digunakan, saya di rumah tidak pakai pelitup muka, tetapi biasa (di luar) saya pakai.
“Cuci tangan macam biasa, penjarakan fizikal macam biasa dan jangan pergi tempat orang ramai-ramai (sesak), ini harus kita teruskan,” katanya.
Perdana Menteri sekali lagi memohon semua rakyat mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi menamatkan penularan COVID-19 di negara ini, lapor BH Online.
Beliau berkata, tindakan menyokong usaha kerajaan itu dapat menamatkan penularan COVID-19 di negara ini.
“Kita perlu ramai-ramai mendaftar untuk mendapat suntikan menerusi aplikasi MySejahtera. Saya sudah ada (aplikasi itu) dalam telefon (pintar). Semua data, maklumat yang terima semalam, saya terima dos pertama dan dapat tarikh untuk dos kedua.
“Dia bagi saya janji temu 17 Mac ini, Insya-Allah selepas itu baru dapat sijil selesai menerima suntikan vaksin COVID-19.
“Saya mengucap syukur terhadap Allah SWT kerana keadaan (kesihatan) masih baik dan sihat. Saya doakan anda semua sentiasa dalam keadaan sihat,” katanya.
Semalam, Muhyiddin menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, sekali gus menjadi rakyat pertama negara ini yang berbuat demikian.