PM NEGATIF COVID-19
Berita Nasional
PM NEGATIF COVID-19
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin disahkan negatif COVID-19 selepas menjalani dua ujian saringan.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan ujian saringan pengesanan COVID-19 bagi sampel kedua ke atas Muhyiddin pada 14 Oktober dan disahkan negatif pada Khamis lalu.
Sehubungan itu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan bahawa kedua-dua ujian pengesanan COVID-19 bagi Perdana Menteri sepanjang tempoh kuarantin kendiri sudah disahkan negatif dan tempoh kuarantin kendiri beliau tamat semalam.
Dalam pada itu, Perdana Menteri terus komited mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan COVID-19 yang diadakan secara sidang video hari ini.
“Walaupun tempoh kuarantin kendiri sudah tamat, mesyuarat khas MKN masih dijalankan melalui sidang video sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi situasi semasa COVID-19 di dalam negara.
“Mesyuarat khas MKN ini berlangsung setiap hari bermula 7 Oktober lalu,” kata kenyataan itu.
Muhyiddin mula menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di kediamannya bermula 3 Oktober lalu, selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menghadiri mesyuarat bersamanya disahkan positif COVID-19.
Perdana Menteri memberi jaminan, langkah itu tidak mengganggu urusan pentadbiran kerajaan kerana beliau akan terus bekerja dari rumah dan menggunakan sidang video bagi mengendalikan mesyuarat.
BH Online