PM Dijangka Umum Inisiatif Baharu Untuk Warga FELDA
PM Dijangka Umum Inisiatif Baharu Untuk Warga FELDA
BENTONG — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan satu inisiatif baharu yang melibatkan dasar kerajaan berkaitan FELDA dalam masa terdekat.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, keputusan itu adalah sebahagian daripada usaha jangka panjang kerajaan bagi memastikan kesejahteraan warga FELDA di seluruh negara, dengan Pahang memainkan peranan penting dalam pelaksanaannya.
“Inisiatif ini melibatkan dasar yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri sendiri. Keberhasilan usaha ini bermula di Negeri Pahang, yang sentiasa mendukung kesejahteraan warga FELDA,” katanya ketika ditemui selepas Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri. hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa pengumuman tersebut akan membawa manfaat besar kepada warga FELDA, bukan sahaja di Pahang tetapi juga di seluruh negara.
“Pahang, di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sentiasa menyokong usaha yang membawa kebaikan kepada warga FELDA.
Namun, untuk butiran lanjut, kita serahkan kepada Perdana Menteri kerana beliau yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan FELDA,” katanya.
Sementara itu, Yayasan Petronas turut menghulurkan sumbangan kepada lebih 4,820 penerima asnaf di negeri ini sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
Pengurus Besar Yayasan Petronas Wilayah Timur, Muhammad Ahmad Sazli berkata, program ini bertujuan meringankan beban golongan kurang berkemampuan menjelang Aidilfitri.
“Hari ini, kami berbesar hati dapat menyampaikan bantuan kepada 400 penerima di DUN Pelangai. Program ini bukan sahaja diadakan di sini, malah akan diperluaskan ke negeri lain sebagai sebahagian daripada siri jelajah Yayasan Petronas,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kerajaan negeri, yang telah bekerjasama dalam menjayakan program ini.
“InsyaAllah, tahun depan jumlah penerima akan ditambah lagi, selaras dengan komitmen Yayasan Petronas untuk terus membantu golongan yang memerlukan,” katanya.-SAHIH