PKPP BERJAYA SEKAT NAFSU MAKAN ORANG RAMAI
PKPP BERJAYA SEKAT NAFSU MAKAN ORANG RAMAI
KUANTAN: Jumlah kutipan sisa domestik direkodkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang sejak kedatangan Ramadan 13 April lalu tidak banyak berubah seperti bulan sebelumnya.
Perkara ini dipercayai berpunca daripada keberkesanan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri ini sejak Mac lalu.
Pengarah SWCorp negeri, Sharudin Hamid berkata, pelaksanaan PKPP juga dilihat secara tidak langsung dapat mengawal nafsu makan orang ramai walaupun kerajaan Pahang membenarkan penganjuran bazar Ramadan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
SHARUDIN HAMID
“Kebiasaannya sisa domestik ini akan meningkat antara 20 hingga 30 peratus setiap kali bulan Ramadan hingga kedatangan Syawal, namun tahun ini, kita merekodkan sebanyak 1,200 tan sisa domestik dikutip setiap hari di seluruh Pahang, sama seperti hari-jari biasa atau penurunan sekitar 10 peratus berbanding tahun lalu.
“Kalau kita lihat perkembangan atau rekod kutipan (sisa domestik) tahun lalu, biasanya jumlah kutipan meningkat antara 20 hingga 30 peratus, contohnya tahun lalu kita mengutip sebanyak 1,560 tan metrik sisa domestik sehari.
“Kebanyakan sisa domestik ini adalah membabitkan sisa makanan dan kita dapat lihat tahun ini kebanyakan orang ramai lebih berhati-hati dalam berbelanja untuk juadah berbuka puasa atau sahur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Berbuka Puasa Anjuran Syarikat Konsesi Alam Flora Sdn Bhd Bersama Media di sini, malam semalam.
Sharudin berkata, pihaknya terkejut dengan data yang diperoleh, namun pada masa sama beranggapan masyarakat semakin celik dan sedar untuk tidak membazir dengan membeli makanan diperlukan sahaja.
“Pengurangan jumlah kutipan sisa domestik tahun ini juga disebabkan SOP membabitkan aktiviti jual beli di bazar Ramadan dihadkan oleh kerajaan negeri.
“Sebagai contoh, jika dahulu terdapat lebih 100 gerai dibenarkan (beroperasi), tapi sekarang cuma 50 pada satu-satu masa,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Shahrudin berkata, pihaknya turut memperkenalkan syarat tambahan kepada penganjur bazar Ramadan untuk melantik kontraktor dilesenkan sahaja bagi menjalankan kerja kutipan sisa domestik di kawasan operasi bazar berkenaan.
“Ini adalah bagi memudahkan pihak kami menjalankan pemantauan berhubung penjanaan sisa domestik dari semasa ke semasa di setiap bazar Ramadan yang beroperasi di Pahang,” katanya.