PKPD : KERAJAAN SABAH SUDAH AGIH 9,409 MAKANAN
Berita Nasional
PKPD : KERAJAAN SABAH SUDAH AGIH 9,409 MAKANAN
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sudah mengagihkan sebanyak 9,409 bakul makanan, setakat hari ini, sebagai bantuan kepada penduduk di daerah yang terbabit pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata 2,183 bakul makanan terbabit diagihkan di Lahad Datu, Semporna (3,673), Kunak (1,053), Tawau (2,000) serta Sandakan (500).
“Sasaran pengagihan bakul makanan itu ialah kepada ketua isi rumah bagi lokaliti diisytiharkan PKPD dan ketua isi rumah yang diperintahkan menjalani kuarantin di rumah oleh Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di Sabah, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat Sabah juga amat diharap memberi kerjasama serta mematuhi arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diperluaskan ke seluruh negeri, mulai tengah malam ini.
Katanya, pelaksanaan PKPB bagaimanapun tidak menjejaskan aktiviti penting, terutama perkhidmatan perlu dan pengedaran barangan keperluan untuk penduduk.
“Kerajaan negeri akan memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan sentiasa mencukupi.
“Sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB, aktiviti ekonomi masih berjalan seperti biasa dengan tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) disediakan Kementerian Kesihatan,” katanya.
Kerajaan Persekutuan bersetuju melaksanakan PKPB di seluruh Sabah selama 14 hari bermula tengah malam ini hingga 26 Oktober.
Selain itu, PKPD akan dilaksanakan di FELDA Umas, Tawau, selama 14 hari juga bermula tengah malam ini hingga 26 Oktober, menjadikan jumlah tujuh lokaliti terbabit perintah berkenaan di seluruh Sabah, setakat ini.
Sementara itu, Masidi berkata, Kerajaan Sabah merakam penghargaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menjamin Kerajaan Persekutuan akan membantu Sabah sepenuhnya dalam menangani pandemik COVID-19 di negeri ini.
“Komitmen itu disampaikan Perdana Menteri dalam mesyuarat melalui persidangan video Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang saya sertai, hari ini.
“Perdana Menteri juga sudah meminta Kementerian Kesihatan supaya mengoptimumkan penggunaan semua sumber manusia dan aset yang ada untuk membantu Jabatan Kesihatan Sabah,” katanya.
Sumber : BHonline