PKPD DI TIGA KAMPUNG DI BESUT, PPA BATU GAJAH
PKPD DI TIGA KAMPUNG DI BESUT, PPA BATU GAJAH
KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pegerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Batu Gajah, Perak dan kuarters kakitangannya.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata arahan itu akan berkuat kuasa bermula 14 hingga 27 Februari ini.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti.
“Prosedur operasi standard (SOP) PKPD di pusat tahanan ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil 81 ujian saringan, sejumlah 29 kes positif COVID-19 direkodkan dengan 45 baki saringan sedang menunggu keputusan, lapor Astro AWANI.
Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri turut memaklumkan pelaksanaan PKPD di Kg Darau-Awek, Kg Padang Baloh dan Kg Lepan Kejor, Mukim Pasir Akar, Besut, Terengganu.
GAMBAR HIASAN
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 570 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 21 kes positif COVID-19 telah direkodkan meliputi ketiga-tiga lokaliti ini.
“Pelaksanaan PKPD ini mengawal pergerakan penduduk, mengurangkan jangkitan dalam komuniti serta memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas kira-kira 2,152 penduduk di ketiga-tiga lokaliti ini,” katanya
Pelaksanaan arahan ini akan berkuat kuasa bermula 14 hingga 27 Februari ini.