PKPB DI KLANG, SANDAKAN, TUARAN & PAPAR
Berita Nasional
PKPB DI KLANG, SANDAKAN, TUARAN & PAPAR
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sandakan, Tuaran, Papar di Sabah dan Klang di Selangor selama 14 hari bermula 9 Oktober ini.
Langkah itu diambil susulan terdapat lebih 40 kes positif di semua kawasan terbabit, selain membolehkan pengesanan kes secara bersasar dilakukan sepanjang tempoh berkenaan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pergerakan masuk dan keluar dari kawasan itu tidak dibenarkan.
“Hanya perkhidmatan perlu termasuk kilang dan rantaian yang berkaitan perkhidmatan perlu adalah dibenarkan.
“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan menyenaraikan jenis perkhidmatan perlu atau perkhidmatan lain di kawasan itu,” katanya pada sidang media khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara langsung menerusi Facebook hari ini.
Ismail Sabri berkata, antara prosedur operasi standard (SOP) ialah hanya dua orang saja dibenarkan keluar memberi barang keperluan.
“Semua perniagaan bukan keperluan ditutup, restoran, kedai runcit, kedai serbaneka dibuka bermula 6 pagi hingga 6 petang, manakala pembelian makanan secara pandu lalu, kaedah penghantaran dan bungkus saja dibenarkan.
“Waktu operasi stesen minyak adalah antara 6 pagi hingga 6 petang, manakala operasi pasar harian antara 6 pagi hingga 2 petang, sementara pasar malam, pasar tamu serta pasar tani tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata, klinik dan hospital dibenarkan beroperasi 24 jam manakala farmasi dan kedai ubat-ubatan dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 6 petang.
Katanya, kenderaan yang membawa barangan keperluan dibenarkan keluar masuk dengan kebenaran polis terlebih dulu.
Selain itu, perkhidmatan e-hailing dibenarkan membawa hanya dua penumpang dan beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam saja.
“Perkhidmatan bas ekspres dan bas henti-henti, tidak dibenarkan,” katanya.
Menurutnya, penduduk di kawasan terbabit tidak dibenarkan keluar untuk bekerja sepanjang tempoh itu dan meminta majikan tidak mengambil tindakan kepada pekerja.
Beliau berkata, masjid, surau, rumah ibadat bukan Islam serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pusat jagaan kanak-kanak, pusat tahfiz, sekolah dan tadika juga ditutup.
Selain itu, semua aktiviti sukan, sosial dan budaya juga tidak dibenarkan di kawasan itu.
“Bagi memastikan pelaksanaan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pihak berkuasa tempatan dan pegawai diberi kuasa untuk mengawal seluruh kawasan terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat khas MKN hari ini juga bersetuju PKPD Bersasar di Rumah Pangsa Tongkang Yard di Seberang Perak ditamatkan berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini.
“Terima kasih kepada KKM dan barisan depan atas kejayaan melandaikan Covid-19 di kawasan itu,” katanya.