PKMM HULUR BANTUAN PASCA BANJIR
PKMM HULUR BANTUAN PASCA BANJIR
TEMERLOH: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) turun padang dengan sumbangan pinjaman menggunakan beberapa jentera ringan dan berat dalam misi bantuan pembersihan pasca banjir di daerah Lipis, Temerloh, Maran dan Pekan
Misi bantuan pembersihan selama empat hari itu bermula di daerah Maran diikuti daerah Lipis dan berakhir di Pekan setelah air surut.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri 1, Datuk Seri Ismail Mohamed Said yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau turut bersama ke masjid dan Sekolah Kebangsaan Pulau Pasir Mandi di Kuala Krau bersama penduduk setempat untuk membersihkan bangunan tersebut.
Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Abdul Gapar Lambak berkata, sumbangan itu datang daripada Yang Dipertua Negeri-negeri dan Ahli-ahli jawatankuasa Agong di peringkat pusat.
“Kami menyediakan lori Jetter, lori pembersihan jalan (Roadsweeper), lori roro, lori kargo dan pikup.
“Bantuan untuk menggunakan peralatan termasuk generator, tong air, pam pancuran air dan beberapa alatan penting dalam misi pembersihan kali ini,” katanya.
Katanya skuad bantuan pasca banjir PKMM ini bergerak ke daerah terlibat mengikut kesesuaian laluan dan disertai oleh wakil rakyat setempat termasuk pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) untuk turut menghulurkan bantuan misi kemanusiaan itu.
Katanya, seluruh misi bantuan ini mendapat kerjasama dan dibantu oleh ahli kontraktor daerah yang menumpukan pembersihan bangunan masjid, sekolah, balairaya, dewan dan bangunan penting di kawasan terbabit.