Pintu Kapsul Masa Wawasan 2020 di Menara KL Dibuang, Warisan Negara Terancam?
Pintu Kapsul Masa Wawasan 2020 di Menara KL Dibuang, Warisan Negara Terancam?
KUALA LUMPUR – Keadaan di Menara Kuala Lumpur menimbulkan tanda tanya apabila pintu Kapsul Masa Wawasan 2020 yang menjadi simbol sejarah penting negara dilaporkan telah dicabut dan ruang penyimpanannya pula ditutup sepenuhnya.
Perkara itu didedahkan Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Bin Abdul Halim yang mendakwa menerima maklumat daripada seorang rakan yang mengunjungi lokasi berkenaan baru-baru ini.
Menurut beliau, tindakan tersebut mengecewakan kerana ia melibatkan warisan sejarah negara yang berkait rapat dengan era kepimpinan Perdana Menteri ke-4 dan ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Walaupun kapsul itu telah dikeluarkan dan disimpan di Arkib Negara, lokasi asalnya tetap mempunyai nilai simbolik dan sejarah yang besar,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambah beliau, tindakan syarikat pengendali baharu, LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM) membuang pintu kapsul dan menutup ruang asal penyimpanan kapsul itu tanpa sebarang maklumat jelas adalah sangat tidak wajar.
“Tindakan itu seolah-olah memadamkan sejarah negara. Sepatutnya ruang asal dipelihara dan dijelaskan kepada umum, bukan diganti begitu sahaja,” tegasnya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada tindakan itu mendapat restu daripada kerajaan MADANI dan Kementerian Komunikasi.
Sebagai rakyat Malaysia, Mohamad Shafiq menegaskan bahawa rakyat berhak mendapat penjelasan yang tuntas berhubung isu tersebut, selain mendesak kerajaan dan LSHSM supaya mengembalikan ruang itu sebagai satu bentuk penghormatan kepada sejarah negara.
“Ini bukan soal politik, ini soal menghargai sejarah,” katanya.-SAHIH