PIALA TUNKU AZIZAH TARIK PENYERTAAN LUAR BIASA
PIALA TUNKU AZIZAH TARIK PENYERTAAN LUAR BIASA
PEKAN – Piala Tunku Azizah – Pertandingan Tenun Pahang Diraja yang dianjurkan julung kali oleh Yayasan Tenun Pahang Diraja menerima sambutan luar biasa dengan penyertaan 103 peserta dari seluruh negara melibatkan 206 produk.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga pengasas dan pengerusi yayasan berkenaan menzahirkan rasa terharu atas sambutan tersebut.
Baginda bertitah, semua produk yang dipertandingkan iaitu kain samping corak beragi dan kain sarung corak beragi akan dinilai oleh lima juri profesional selama empat hari bermula 21 Ogos ini.
“Panel juri diketuai oleh Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama empat pakar tekstil negara. Penilaian dibuat berdasarkan empat kriteria iaitu kecemerlangan dan keaslian, ketukangan, inovasi serta nilai komersial.

“Setiap hasil tenunan wajib menggunakan kaedah pembentukan tangan seperti digariskan UNESCO. Penggunaan mesin adalah tidak dibenarkan,” titah baginda dalam kenyataan di sini hari ini.
Pertandingan yang berlangsung dari 27 Mac hingga 30 April lalu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM104,000. Pemenang pertama bakal membawa pulang RM30,000 beserta piala dan sijil, manakala tempat kedua menerima RM20,000 serta piala dan sijil. Tempat ketiga pula mendapat RM10,000, manakala saguhati tempat keempat hingga kelapan menerima RM4,000 setiap seorang.
Bagi tempat kesembilan hingga ke-20, penerima akan membawa pulang RM2,000 beserta sijil penyertaan.
Keputusan pertandingan akan diumumkan pada 24 Ogos ini selepas sesi penjurian berakhir pada 23 Ogos. Majlis penyampaian hadiah pula berlangsung pada 31 Ogos sempena perasmian Temasya Warisan Pahang di Muzium Maritim, Pulau Beram, Pekan, yang akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah, pertandingan ini menjadi platform mencungkil bakat kreatif penenun agar Tenun Pahang Diraja terus diperkasa di peringkat nasional dan antarabangsa.-SAHIH
