PIALA MALAYSIA TANGGUH
PIALA MALAYSIA TANGGUH
KUALA LUMPUR : “Kepada peminat bola sepak.. mesyuarat memutuskan untuk menangguhkan pertandingan Piala Malaysia.”
Demikian keputusan kerajaan berhubung status saingan Piala Malaysia apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan pertandingan bola sepak tertua di Asia itu ditangguhkan seketika ekoran pandemik COVID-19.
Laporan Harian Metro, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian berkaitan COVID-19 berkata, keputusan itu diambil selepas mendapat nasihat KKM.
Katanya, permainan bola sepak membabitkan sentuhan ketika bermain adalah merbahaya kerana ia boleh merebak sekali gus mengancam nyawa pemain.
“Selepas dibentang oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), KKM merasakan bahawa pertandingan bola sepak walaupun tiada penonton tetapi ia kerana menyebabkan berlaku sentuhan di kalangan pemain-pemain.
“Dan mereka (pemain) agak lebih berbahaya kerana mereka berpeluh dan basah sesama sendiri, bersentuhan itu boleh dianggap lebih merbahaya kepada keadaan yang biasa.
“Kalau badminton mungkin tidak ada (sentuhan) walaupun ada pertandingan tetapi kalau perseorangan misalnya, ia persendirian, tapi bola memang tak boleh dielakkan berlaku sentuhan.
“Jadi KKM memandang ia agak merbahaya.. lagipun setiap negeri sudah ada PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis saja, sedangkan negeri lain sudah PKPB, jadi kita tak benarkan adanya pertandingan.
“Maka mesyuarat membuat keputusan bahawa untuk pertandingan Piala Malaysia kita bersetuju untuk ditangguhkan kepada satu tarikh yang lain yang akan kita umumkan nanti,” katanya.
Selepas berakhir pusingan pertama hujung minggu lalu, lapan pasukan sudah mengesahkan tiket ke suku akhir Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu FC, UiTM FC dan Perak.
Mengikut jadual pertandingan, aksi suku akhir sepatutnya berlangsung pada Khamis dan Jumaat ini, namun dengan pengumuman oleh Ismail itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terpaksa menangguhkan saingan.
Sabtu lalu, kerajaan memutuskan melaksanakan PKPB di semua negeri di Semenanjung Malaysia, kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan sehingga 6 Disember depan.
Pelaksanan PKPB menyaksikan larangan merentas negeri dikuatkuasakan selain aktiviti sosial seperti sukan juga adalah dilarang, termasuk perlawanan bola sepak.