PGMM buka lembaran baru martabat profesion guru, jalin pendidikan digital
PGMM buka lembaran baru martabat profesion guru, jalin pendidikan digital
JERANTUT – Pertubuhan Guru Melayu Malaysia (PGMM) secara rasmi mendapat kelulusan daripada Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk membuka lembaran baharu dalam usaha memartabatkan serta memperkasa profesion pendidikan negara.
Presiden PGMM, Mohd Azhar Yahya berkata, usaha itu penting bagi memastikan kelangsungan program-program pembangunan profesionalisme guru serta inisiatif yang menyokong pendidikan abad ke-21.
Katanya, sebagai sebuah pertubuhan baru ditubuhkan, untuk mewakili suara guru Melayu di Malaysia, PGMM komited untuk memperluas pengaruh dan khidmatnya kepada warga pendidik serta petugas institusi pendidikan, baik di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan swasta di seluruh negara.
“PGMM kini giat mencari sumber dana sendiri dengan membuka pintu kerjasama kepada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, badan berkanun, NGO, korporat, usahawan, serta individu perseorangan yang berkongsi aspirasi membangunkan pendidikan negara.
“Dengan sokongan yang kukuh dan suntikan dana strategik, PGMM dapat menjadi platform utama dalam menyampaikan latihan, bengkel dan seminar yang berimpak tinggi kepada pendidik di seluruh negara,“ katanya ketika dihubungi hari ini.
Azhar berkata, PGMM meletakkan harapan tinggi agar lebih banyak pihak tampil sebagai rakan penaja dan rakan kongsi yang strategik terutamanya dalam bidang yang melibatkan transformasi pendidikan digital, latihan guru dan pembangunan komuniti pendidikan.
“Dengan kelulusan daripada ROS serta kerjasama yang mula terjalin, PGMM kini bersedia memainkan peranan yang lebih aktif dalam mencorak masa depan pendidikan negara ke arah yang lebih progresif dan inklusif.
“Antara kerjasama awal yang dimeterai adalah dengan Walnut Education (WE), sebuah syarikat teknologi pendidikan yang memfokuskan kepada pembangunan kandungan digital berteraskan Kecerdasan Buatan (AI),“ katanya.
Lembaga penasihat Walnut Education, Ramlan Mislan berkata, melalui kerjasama ini, PGMM akan bertindak sebagai penghubung antara WE dan pihak berkepentingan dalam ekosistem pendidikan seperti KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekolah, serta Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti Sekolah (PIBKS).
“Kami melihat PGMM sebagai jambatan penting untuk menyampaikan solusi pendidikan digital kami kepada komuniti sekolah, ini termasuk seminar, bengkel dan perbincangan strategik bersama pentadbir pendidikan di seluruh negara,” katanya.- SAHIH.