PGA RAMPAS DAUN KETUM
Berita Jenayah
PGA RAMPAS DAUN KETUM
BUKIT KAYU HITAM: Anggota Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Hulu, Perak yang melakukan rondaan dalam Ops Benteng (Ops Wawasan Kedah/Perlis), petang semalam menemui 990 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM29,700 dalam sebuah pondok yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu, Perak, Superintendan Abd Razak Md Din, berkata terdahulu anggota ternampak beberapa lelaki berkumpul di kawasan pondok di Kampung Kubang Tiga dekat Chuping, Perlis dalam keadaan mencurigakan sekitar 6 petang.
“Bagaimanapun mereka melarikan diri sebaik dihampiri anggota PGA.
“Pemeriksaan lanjut menemui bungkusan plastik lut sinar mengandungi 31 guni putih berisi ketum sebelum dibawa ke Balai Polis Padang Besar di Perlis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.