PETUGAS MEDIA VAKSIN RABU INI
PETUGAS MEDIA VAKSIN RABU INI
KUALA LUMPUR: Kumpulan petugas media negara akan mendapat suntikan vaksinasi COVID-19, bermula Rabu ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata petugas media termasuk wartawan dan jurugambar akan mula mendapat janji temu bermula hari ini.
“Bermula hari ini, akan ada petugas media yang akan mendapat janji temu. Bagaimanapun, senarai jumlah sebenar petugas media ini sedang disemak di peringkat akhir ini,” katanya kepada media selepas melawat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KLCC, yang mula beroperasi, hari ini.
Isu mengenai suntikan vaksin COVID-19 kepada petugas media mula diperkatakan sejak bulan lalu kerana kumpulan pekerja ini masih belum memperoleh suntikan vaksin biarpun program vaksinasi negara bermula sejak beberapa bulan lalu.
Semalam, tanda pagar #CucukMyPress sudah dimulakan petugas media seluruh negara, berikutan tarikh temujanji vaksin itu masih belum tiba meskipun dijanjikan pada awal bulan ini, lapor BH ONLINE.
Khairy dalam sidang media Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) pada 28 April lalu, mengumumkan kira-kira 1,500 petugas media bakal menerima vaksinasi pada Mei.