PETUGAS MEDIA DIGESA JALANI UJIAN CALITAN COVID-19
Berita Nasional
PETUGAS MEDIA DIGESA JALANI UJIAN CALITAN COVID-19
KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) menggesa petugas media melakukan ujian calitan COVID-19 sebelum membuat liputan di kawasan berisiko tinggi atau Zon Merah.
Presidennya, Farah Marshita Abdul Patah, berkata ia bagi menjamin keselamatan diri, selain membolehkan pihak berkuasa memberi kebenaran untuk membuat liputan.
“Pada masa sama, NUJM berharap semua syarikat memastikan petugas media diberikan ujian saringan percuma.
“NUJM ingin mengingatkan semua petugas media supaya sentiasa berhati-hati ketika menjalankan tugas dan mematuhi amalan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Mana-mana petugas media yang mempunyai gejala COVID-19 dinasihatkan segera melakukan ujian saringan di hospital dan mematuhi arahan kuarantin wajib,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengenai kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung arahan bekerja dari rumah bermula esok, Farah Marshita berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa membenarkan petugas media melaksanakan tugas tanpa ditahan dan dihalang dalam mana-mana sekatan jalan raya (SJR).
“Kebanyakan petugas media perlu membuat liputan di pelbagai kawasan termasuk tempat berisiko.
“Sehubungan itu, NUJM memohon kerjasama diberikan kepada petugas media yang mempunyai surat kebenaran bertugas daripada syarikat masing-masing,” katanya.
Semalam, media melaporkan pekerja peringkat pengurusan dan pengawasan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan untuk bekerja dari rumah, bermula esok.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dipetik berkata keputusan itu membabitkan kira-kira sejuta pekerja di Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Sabah dan Labuan.
Sumber: BH Online