PETUGAS LEBUH RAYA PANTAI TIMUR SIAP SEDIA
PETUGAS LEBUH RAYA PANTAI TIMUR SIAP SEDIA: ALIRAN TRAFIK DIJANGKA MENINGKAT SEMPENA CUTI HUJUNG TAHUN
KUALA LUMPUR: Seramai 1,160 petugas lebuh raya termasuk anggota Ronda, pasukan penyelenggaraan lebuh raya serta Pusat Kawalan Trafik bersedia membantu pengguna lebuh raya ketika menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).
Bagi lebuh raya KLK dan LPT1, ia dikendalikan oleh ANIH Berhad, manakala LPT2 dikendalikan oleh LPT 2 Sendirian Berhad, ketiga-tiga komponen lebuh raya ini menghubungkan Lembah Klang melalui Gombak ke pantai timur seperti Gambang dan Kuantan di Pahang dan Kuala Terengganu di Terengganu.
Pengendali rangkaian lebuh raya E8 iaitu ANIH Berhad dan LPT 2 Sendirian Berhad memaklumkan, petugas akan bersiap sedia kerana bakal berlaku peningkatan trafik sempena cuti akhir tahun serta diramalkan laluan jalan pesisir negeri dan persekutuan yang dijangka ditenggelami air di beberapa kawasan rendah ketika musim tengkujuh ini.
Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, pengguna lebuh raya dapat menikmati perjalanan yang lancar dan menjimatkan masa, malah menikmati kemudahan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah, bantuan kecemasan dan perkhidmatan rondaan 24 jam yang disediakan di rangkaian lebuh raya E8 kendalian ANIH Berhad sepanjang 234 kilometer.
“Berikutan musim tengkujuh yang melanda dan menyebabkan banjir di beberapa tempat terutamanya di jalan pesisir negeri dan persekutuan, maka lebuh raya E8 menjadi pilihan yang terbaik untuk pengguna tiba ke destinasi yang dituju dengan selamat.
“Secara keseluruhan, lebuh raya E8 menyediakan kemudahan dan keselesaan di kawasan rehat yang sedia ada seperti Hentian Sebelah Gombak, Lanchang, Maran dan Kuantan serta R & R Genting Sempah, Temerloh serta Gambang bagi LPT1, manakala R & R Ajil, Paka dan Perasing bagi LPT2,” katanya.
Sementara itu, Pengarah LPT 2 Sdn. Bhd, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, kedua-dua lebuh raya LPT 1 dan LPT 2, menempatkan seramai 1,160 petugas di sepanjang eko-sistem lebuh raya bagi membantu pengguna lebuh raya sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
“Jumlah ini meliputi kakitangan di plaza tol, pasukan rondaan, penyelenggaraan lebuh raya serta Pusat Kawalan Trafik bagi membantu pengurusan trafik di kawasan R & R, hentian sebelah dan plaza tol sempena musim cuti akhir tahun ini.
“Lebuh raya LPT2 yang merangkumi laluan sepanjang 184 kilometer yang bermula dari Jabor hingga Kuala Terengganu dilengkapi dengan 5 buah R&R serta 4 hentian sebelah yang memberi kemudahan kepada pengguna untuk berhenti rehat dengan selesa sebelum menyambung semula perjalanan mereka,”katanya.
Pengendali lebuh raya tersebut menasihat pelanggan lebuh raya untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan bagi melandaikan lekuk jangkitan Covid-19, terutamanya apabila menggunakan kemudahan di hentian sebelah dan R&R.
Selain itu terdapat kemudahan gerai makanan dan minuman, surau, wakaf, stesen minyak, tandas awam dan tempat letak kenderaan yang mencukupi serta menasihati pengguna memastikan kad Touch ‘n Go mempunyai baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuh raya.
Sekiranya berlaku kecemasan, terdapat kira-kira 60 anggota pasukan Rondaan LPT2 yang boleh membantu pelanggan 24 jam sehari dan boleh menghubungi talian 24 jam LPT Line di 1-700-818-700 bagi KLK & LPT1, manakala LPT2 Line di 1-800-88-0220.