PETANI HARAP BANTUAN DITERUSKAN
Berita Nasional
PETANI HARAP BANTUAN DITERUSKAN
TUARAN: Penduduk luar bandar khususnya petani dan pekebun bersyukur dengan inisiatif Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) yang diumumkan kelmarin, turut berharap kerajaan meneruskan bantuan lain, termasuk subsidi pertanian kerana mereka antara golongan paling terjejas.
Bagi mereka, bantuan diumumkan menunjukkan kerajaan mengambil berat kesusahan rakyat, terutama golongan B40 dan M40 yang terjejas teruk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.
Sehubungan itu, mereka berharap selain bantuan tunai menerusi BPN 2.0, kerajaan terus membantu golongan terjejas secara berterusan dan menyeluruh.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin mengumumkan Kerangka Inisiatif Khas Tambahan PRIHATIN: Kita Prihatin bernilai RM10 bilion merangkumi bantuan RM7 bilion untuk BPN 2.0 yang akan memanfaatkan 10.6 juta penerima.
Bagi pekebun sayur dan buah-buahan, Jalinah Jukin, 54, dari Bayaon, Kiulu di sini, pelbagai inisiatif diumumkan menunjukkan kerajaan sangat memahami keperluan golongan berpendapatan rendah.
“Sejak PKP dilaksanakan, kami (pekebun) tidak dapat turun ke tamu (pasar) untuk berniaga hasil tanaman. Hingga kini kami belum mendapat kebenaran berniaga di tapak tamu daripada pihak berkuasa.
“Malah, kebanyakan premis atau restoran juga ditutup menyebabkan hasil tanaman kami tidak dapat dijual menyebabkan kami menanggung kerugian.
“Hanya musim buah-buahan baru-baru ini kami dapat berniaga di tepi jalan, namun ia (musim buah-buahan) sudah berakhir dan kami masih buntu hasil tanaman sayuran pula sukar dijual.
“Kami (rakyat) menyambut baik apa juga inisiatif kerajaan, namun saya harap bantuan untuk golongan B40 ini diteruskan… lebih-lebih lagi ketika penularan COVID-19, segelintir rakyat di sini masih bimbang keluar rumah untuk berada di kawasan padat,” katanya.
Pakej KitaPrihatin diumumkan Perdana Menteri kelmarin merangkumi BPN 2.0 berjumlah RM7 bilion, Program Subsidi Upah 2.0 (RM2.4 bilion) dan inisiatif Geran Khas PRIHATIN (GKP) sebanyak RM600 juta.
Sumber: BERNAMA