Pesta Menjala Sungai Dong Cetus Nostalgia, Semarak Cinta Alam
Pesta Menjala Sungai Dong Cetus Nostalgia, Semarak Cinta Alam
RAUB – Pesta Menjala Sungai Dong yang julung kali diadakan semalam bukan sahaja mengimbau nostalgia kehidupan masyarakat kampung suatu ketika dahulu, malah mencetuskan kesedaran pentingnya memelihara sungai dan kelestarian ekosistemnya.
Program anjuran Pejabat Exco Komunikasi, Multimedia, Belia, Sukan dan NGO Negeri Pahang itu menyaksikan lebih 130 peserta dari pelbagai lapisan usia, termasuk warga emas hampir 70 tahun, menyertai aktiviti menjala sepanjang hampir 3 kilometer Sungai Dong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal berkata, pesta itu membuka ruang kepada orang ramai mengenali semula peranan sungai dalam kehidupan masyarakat terdahulu.
“Dulu Sungai Dong ini menjadi nadi pengangkutan dan sumber rezeki utama penduduk. Malah, arwah ayah saya sendiri membesarkan kami adik-beradik dengan hasil sungai ini – ikan, siput, sayur sungai,” katanya.
Menurut Fadzli, antara spesies ikan yang berjaya ditangkap termasuk kelah, baung, lampam, sira, sikang, pilan dan kenerak – membuktikan sungai berkenaan masih kaya dengan biodiversiti.
Sebagai simbolik kempen mencintai sungai, sebanyak 50,000 ekor anak ikan kelah, lampam, baung dan sebarau telah dilepaskan ke Sungai Dong dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Pahang dan Daerah Raub.
“Saya gesa semua pihak, termasuk tok penghulu dan masyarakat kampung, pastikan tiada aktiviti haram seperti bom ikan atau renjatan elektrik yang boleh musnahkan spesies ini,” tegasnya.
Beliau turut menyatakan hasrat menjadikan pesta itu sebagai acara tahunan dengan lokasi berbeza sepanjang jajaran Sungai Dong, sekali gus merapatkan silaturahim dan menyemai kesedaran alam sekitar dalam kalangan generasi muda.-SAHIH