PESAWAT RINGAN TERHEMPAS
GEORGETOWN: Sebuah pesawat ringan dikhuatiri terhempas sebelum terjunam ke dalam laut berhampiran perairan Tanjung Bungah, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, pesawat berkenaan dilihat berlegar-legar di udara sebelum dikatakan terhempas ke dalam laut.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis menerima laporan daripada saksi memaklumkan yang dia bersama rakannya ternampak pesawat ringan itu yang terhempas.
“Mereka mendakwa ternampak pesawat tersebut terhempas kira-kira jam 2 petang sebelum memaklumkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa.
“Polis bersama beberapa agensi lain menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan tersebut namun sehingga jam 6.30 petang ini, kami tidak menemukan sebarang petunjuk atau bangkai pesawat yang didakwa terhempas,” katanya kepada pemberita di sini petang ini
Terdahulu, tular di dalam laman sosial mengenai seorang lelaki yang mendakwa ternampak sebuah pesawat ringan terhempas sebelum terjunam ke dalam laut di kawasan perairan Tanjung Bungah.
Menurut Soffian, setakat ini pihak polis masih belum menerima laporan berhubung insiden pesawat terhempas dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA).