PESARA POLIS MAUT, CUCU CEDERA MOTOSIKAL DILANGGAR KERETA
Berita Jenayah
PESARA POLIS MAUT, CUCU CEDERA MOTOSIKAL DILANGGAR KERETA
SITIAWAN: Seorang pesara polis maut dan cucu lelakinya cedera selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar kereta di Kilometer 3 Jalan Sitiawan-Kampung Acheh di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian 7.55 pagi itu, mangsa, Azmin Hassan, 59, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala cucu lelakinya berusia enam tahun cedera di tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata siasatan mendapati mangsa dan Proton Pesona dari Sitiawan menghala ke Kampung Acheh.
Beliau berkata, ketika kejadian mangsa yang bersara awal itu dalam perjalanan menghantar cucunya ke tadika.
“Mangsa dipercayai mengubah lorong dari kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu kereta tidak sempat brek lalu melanggar belakang motosikal ditunggang mangsa.
“Cucunya yang cedera di kaki dan tangan sudah dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk rawatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Nor Omar berkata, pemandu kereta, iaitu lelaki berusia 34 tahun tidak cedera dan ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Manjung untuk membantu siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.