Pesara polis dan isteri maut dalam kemalangan jalan raya LPT hala Kuala Lumpur
Foto atas: Kemalangan jalan raya meragut nyawa pesara polis dan isteri di KM 192.6, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), hari ini – Foto BBP Taman Tas.
Pesara polis dan isteri maut dalam kemalangan jalan raya LPT hala Kuala Lumpur
KUANTAN – Suami isteri maut manakala 2 lagi cedera dalam kejadian kemalangan jalan raya yang berlaku di KM 192.6, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur pada jam 5.30 petang, hari ini.
Mangsa yang maut di tempat kejadian, Abd Talib Akob, 73 tahun seorang pesara polis dan Fuziah Mohd Marzuki (62) kedua-duanya beralamat di Taman Muhibbah, Jerantut.
Manakala, pemandu kenderaan jenis Mitsubishi Triton, Muhamad Taufik Abd Talib (34) juga dari Taman Muhibbah, Jerantut dan Noor Syafiyana Ahmad Sobri (32) beralamat Bukit Setongkol, Kuantan mengalami cedera ringan.
Sepasukan anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas, di sini dengan kekuatan 13 keanggotaan dikejarkan ke lokasi kemalangan yang melibatkan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam 3 meter.
Komander Operasi dari BBP Taman Tas, PPgB Helmi Kashfi berkata, terdapat 4 orang mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut membabitkan 2 lelaki dewasa dan 2 wanita dewasa.
“Dua daripada mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas Kementerian kesihatan Malaysia (KKM), manakala dua lagi mangsa lelaki dan wanita mengalami kecederaan dan diserahkan kepada pihak ambulans.
“Kedua mangsa yang meninggal dunia dipercayai ibu dan bapa kepada pemandu kenderaan berkenaan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.-SAHIH.