PESARA MANGSA LOVE SCAM
Berita Jenayah
TERDESAK MAHU MESIN DIALISIS
KOTA BHARU: Terdesak mahukan sumbangan membeli mesin dialisis menyebabkan seorang pesara kerajaan kerugian RM10,400 akibat diperdaya sindiket love scam.
Penipuan itu bermula selepas mangsa yang berusia awal 60-an memuat naik satu hantaran akaun media sosial miliknya dua bulan lalu sambil merayu sumbangan untuk membeli sebuah mesin dialisis dan membiayai rawatan buah pinggang yang mencecah RM100,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed, berkata susulan hantaran itu, pesara terbabit berkenalan dengan seorang wanita menerusi Facebook pada pertengahan September lalu.
“Wanita yang kononnya berasal dari England dan kini menetap di Amerika Syarikat itu, yang mendakwa bekerja dengan sebuah syarikat minyak antarabangsa menyatakan kesudiannya memberi sumbangan wang kepada mangsa.
“Beberapa hari selepas itu mangsa menerima panggilan telefon dari seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai sebuah bank tempatan di ibu negara menyatakan ingin membuat pengesahan berkaitan transaksi pindahan wang oleh kenalan wanita berkenaan dari sebuah bank luar negara ke akaun bank milik mangsa.
“Mangsa diminta untuk membuat bayaran kos pertukaran mata wang daripada Dolar Amerika Syarikat kepada Ringgit Malaysia ke dalam satu akaun bank tempatan milik seorang individu ketiga yang didakwa sebagai ejen kepada bank luar negara itu di Malaysia,” katanya ketika dihubungi di sini.
Ahmad Azizul berkata, mangsa kemudian membuat beberapa kali bayaran hingga mencapai jumlah RM10,400 ke dalam akaun bank diberikan suspek.
Beliau berkata, pesara terbabit mulai curiga dan menyedari dirinya tertipu selepas suspek masih lagi berterusan meminta bayaran dibuat.
“Mangsa mula mengesyaki wang RM100,000 yang dijanjikan sebagai bantuan kewangan itu juga tidak wujud sebelum tampil membuat laporan polis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.
“Kes Love/Parcel Scam adalah antara kes jenayah siber yang kerap dilaporkan dan Polis Kelantan ingin menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dan mengikut arahan diberikan individu yang hanya berhubung secara dalam talian sahaja.
“Dapatkan nasihat daripada pihak berkuasa sekiranya mendapat panggilan yang meragukan terutama yang meminta bayaran atau maklumat kewangan serta akaun bank,” katanya.
Sumber: BH Online