Pesara buntu cari RM70,000 biayai pembedahan jantung anak di IJN
Pesara buntu cari RM70,000 biayai pembedahan jantung anak di IJN
JERANTUT : Seorang pesara kerajaan kini berdepan dilema besar apabila terpaksa mencari wang tunai lebih RM70,000 bagi menampung kos pembedahan jantung anak bongsunya yang dijadualkan pada 8 Disember ini di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Salehudin Mat Rasad, 57, berkata anaknya, Muhammad Azim, 18, sudah berjuang melawan penyakit jantung sejak bayi, namun kali ini ujian itu lebih berat kerana kos rawatan perlu ditanggung sendiri selepas tamat tempoh tanggungan kerajaan.
“Saya pernah bantu ramai pesakit melalui siaran media, tapi kali ini saya sendiri diuji. Sebagai pesara, amat berat untuk mencari jumlah sebesar itu dalam masa singkat,” katanya sebak ketika ditemui di rumahnya di Jerantut, hari ini.
Isterinya, Nor Ezah Abdul Rahman, 52, yang juga suri rumah, hanya mampu menahan air mata mengenangkan dugaan anak mereka yang semakin lemah sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, sejak usia tujuh bulan, Muhammad Azim sering demam dan muntah tanpa sebab sebelum pemeriksaan lanjut mendapati terdapat satu lagi lubang besar pada jantungnya.
> “Doktor mengesahkan degupan jantungnya semakin lemah. Walaupun sudah melalui tiga kali pembedahan besar sebelum ini, kali ini keadaannya lebih berisiko. Kami hanya mampu berdoa agar ada insan prihatin yang sudi membantu,” katanya.
Mengimbau sejarah rawatan anaknya, Salehudin berkata, Muhammad Azim pertama kali dirujuk ke IJN pada Jun 2008 ketika berusia setahun setengah selepas dikesan mempunyai kecacatan jantung serta ketiadaan salur darah utama ke paru-paru.
Pakar kemudian menjalankan pembedahan pertama bagi memasukkan salur darah ke paru-paru hasil pendermaan, sebelum menjalani dua lagi pembedahan besar pada 2015 dan 2018 bagi menutup lubang jantung serta menggantikan salur darah mengikut kesesuaian usia.
Sejak itu, remaja berkenaan menjalani pemeriksaan susulan setiap enam bulan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh dan IJN yang diibaratkan sebagai “rumah kedua” buat keluarga berkenaan.

Namun, hasil pemeriksaan terkini pada 11 Jun lalu mendapati terdapat satu lagi lubang besar pada jantungnya yang tidak dapat dikesan sebelum ini.
> “Pembedahan kali ini perlu dilakukan segera bagi mengelakkan komplikasi lebih serius. Tapi kosnya dianggarkan RM70,000 dan perlu disediakan sebelum tarikh pembedahan pada 8 Disember,” jelasnya.
Tambahnya, sepanjang tempoh berkhidmat sebagai pegawai kerajaan, semua kos rawatan anak ditanggung penuh oleh kerajaan, namun selepas bersara, bantuan itu tidak lagi layak diterima.
> “Dengan pencen bulanan yang terhad dan tanggungan keluarga lain, saya benar-benar buntu. Saya hanya berharap ada insan dermawan yang sudi membantu demi kelangsungan nyawa anak saya,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 7035214973 atas nama Salehudin Mat Rasad, atau menghubungi beliau di 017-9757138 / 019-9457739 bagi membiayai kos pembedahan Muhammad Azim di IJN.-SAHIH
—
Nama pesakit: Muhammad Azim bin Salehudin
Umur: 18 tahun
Diagnosa: Kecacatan jantung kongenital (lubang jantung & salur darah paru-paru sempit)
Tarikh pembedahan: 8 Disember 2025
Lokasi: Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur
Kos dianggarkan: RM70,000
