Pesakit Orang Asli Pos Lenjang diterbangkan ke hospital dengan helikopter
Foto atas: Anggota bomba dan penyelamat membantu pegawai perubatan mengangkat Bah Hong Tingkah ke atas ambulans untuk dibawa ke Hospital Lipis selepas penerbangan ihsan bomba mendarat di padang Sekolah Kebangsaan Wan Ibrahim, Lipis, hari ini.- Foto JBPM.
Pesakit Orang Asli Pos Lenjang diterbangkan ke hospital dengan helikopter
LIPIS – Seorang penduduk lelaki Orang Asli yang mengalami sakit kritikal diterbangkan dengan helikopter oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke Hospital Lipis di sini, hari ini.
Pesakit tersebut, Bah Hong Tingkah, 60, dilaporkan mengalami bengkak di seluruh anggota badan sudah hampir empat bulan sehingga menyebabkan warga emas itu tidak boleh bergerak.
Ketua Zon Tiga, Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Shahrul Nizam Nasir berkata, pesakit tersebut yang tinggal di Kampung Bandar, Pos Lenjang diterbangkan oleh helikopter bomba dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah, JBPM mulai jam 1 tengah hari.
“Penerbangan Medevac Alpha menggunakan pesawat AW189 (9M-BOE) yang terdiri daripada lima krew dan seorang pesakit sepanjang penerbangan dalam keadaan cuaca berawan serta berjerebu dan selamat mendarat di padang Sekolah Kebangsaan Wan Ibrahim, bandar Kuala Lipis pada jam 3.51 petang hari ini.
“Warga emas ini kemudiannya diserahkan kepada Pegawai Perubatan dari Hospital Lipis yang sedia menunggu di lokasi pendaratan untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shahrul Nizam berkata, memandangkan keadaan penyakit penduduk Orang Asli itu semakin kritikal perlu segera mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Lipis,” katanya.-SAHIH.