Pesakit kronik buntu, kos rawatan cecah RM7,000
Pesakit kronik buntu, kos rawatan cecah RM7,000
PEKAN – Seorang wanita yang menghidap pelbagai penyakit kronik kini berdepan kebuntuan apabila berisiko dimasukkan ke wad dan perlu menggunakan mesin rawatan khas yang menelan kos sehingga RM7,000, sedangkan dia tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi.
Wanita berkenaan, Sarimah Daud, 47, dari Taman Agro Politan Batu 8, Lepar di sini, menghidap darah tinggi, kencing manis, penyakit buah pinggang tahap tiga, masalah jantung serta asma dan kini dalam pemantauan rapi doktor pakar.
Menurut ahli keluarganya, Sarimah dijadualkan bertemu doktor pakar paru-paru pada 13 Januari lalu, namun kebimbangan utama adalah kemungkinan perlu dimasukkan ke wad dan menggunakan mesin bantuan pernafasan untuk tempoh tertentu dalam masa enam bulan.
“Doktor beritahu mungkin perlu masuk wad sehari dan guna mesin. Harga mesin itu kira-kira RM7,000 dan disarankan beli untuk kegunaan di rumah,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, keadaan kewangan Sarimah ketika ini amat terhad dan tidak mampu menanggung kos pembelian mesin berkenaan walaupun rawatan itu penting untuk kesihatannya.
“Kami memang risau sebab duit memang tak ada. Nak pergi jumpa pakar pun fikir banyak kali,” katanya.
Sehubungan itu, keluarga berharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan beban rawatan yang terpaksa ditanggung Sarimah demi meneruskan kehidupan dan mendapatkan rawatan sewajarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Bank atas nama Sarimah Daud dengan nombor akaun 7036727526.
Sebarang bantuan amat dihargai dan diharap dapat memberi sinar harapan kepada pesakit kronik itu untuk terus menjalani rawatan yang diperlukan.-SAHIH
