Pesakit COVID-19 alami kesan sampingan
Pesakit COVID-19 alami kesan sampingan
NEW DELHI: Sebahagian pesakit COVID-19 yang dibenarkan pulang terpaksa kembali ke hospital akibat simptom lain seperti sakit hidung, kabur penglihatan, hidung berdarah dan hidung menjadi gelap.
Kesemua mereka menghidap jangkitan kulat dikenali sebagai mucormycosis, yang menurut doktor menjangkiti pesakit ketika sistem imunisasi mereka rendah akibat jangkitan COVID-19 dan steroid yang digunakan bagi melawan coronavirus.
Jangkitan yang dikenali sebagai ‘kulat hitam’ itu jarang berlaku tetapi kini semakin kerap menjangkiti pesakit COVID-19 di India dan mendorong kerajaan mengeluarkan amaran mengenainya.
Pakar Institut Sains Perubatan India, Amarinder Singh Malhi, berkata kadar kematian akibat mucormycosis adalah 50 peratus sedangkan kadar kematian dijangkiti COVID-19 hanya 2.5 peratus.
“Kita perlu teliti menggunakan steroid, yang bertujuan mengelak kerdangan pada pesakit COVID-19,” katanya sambil menambah hospitalnya belum melihat lonjakan kes mucormycosis.
Bagaimanapun, tambah beliau, seminggu lalu seorang wartawan menghubunginya melalui Whatsapp, memaklumkan mengenai seorang wanita yang beransur hilang penglihatan pada sebelah matanya dan buta sebelah lagi mata.
“Saya merujuk kes itu ke wad kecemasan” katanya yang mengesyaki wanita itu menghidap mucormycosis.
Melainkan diberi rawatan awal, jangkitan kulat yang agresif itu lazimnya hanya boleh dihentikan melalui pembedahan.
Seorang pakar bedah di Mumbai, Akshay Nair, berkata beliau menyaksikan 40 kes mucormycosis pada bulan lalu saja termasuk 11 kes memerlukan pembedahan, lapor Agensi.
“Saya terpaksa membuang sebelah mata pesakit wanita itu untuk menyelamatkan nyawa,” katanya kepada BBC sejurus sebelum melakukan pembedahan ke atas seorang wanita berumur 25 tahun.
Wanita berkenaan disahkan sembuh daripada COVID-19 tiga minggu lalu tetapi kini dijangkiti mucormycosis pula.