PERUBAHAN MONSUN RESAHKAN NELAYAN
Berita Nasional/Kehidupan
PERUBAHAN MONSUN RESAHKAN NELAYAN
MELAKA: Perubahan monsun bermula minggu lalu menyebabkan nelayan di Pantai Puteri, Tanjung Kling, dekat sini termenung kerana tidak dapat turun ke laut berikutan ribut dan angin kencang.
Angin mula bertiup petang semalam berubah kencang malam tadi dan berlarutan sehingga pagi ini, yang menyebabkan nelayan tidak mampu keluar mencari rezeki.
Mereka juga terpaksa memindahkan perahu serta peralatan menangkap ikan lebih jauh dari gigi pantai bagi mengelak dihanyutkan ombak besar.
Nelayan, Mohd Rahmad Khamis, 36, berkata angin Timur Laut sekarang lebih kuat berbanding angin selatan yang bermula sejak hujung Jun lalu.
“Setiap kali angin Timur Laut datang, kami tidak dapat ke laut yang bergelora dan berbahaya kepada perahu kecil yang kami gunakan untuk menjaring ikan dan udang serta menangkap ikan dengan merawai, iaitu ribuan mata pancing yang dipasang umpan.
“Saya terpaksa turun ke pantai malam tadi untuk meninjau keadaan perahu dan peralatan menangkap ikan yang terancam semasa ribut. Alhamdulillah, semua selamat,” katanya ketika ditemui di Pantai Puteri hari ini.
Mohd Rahmad berkata, lazimnya angin Timur Laut bertiup dari Oktober hingga hujung November sebelum digantikan dengan angin timur atau lebih dikenali dalam kalangan nelayan sebagai angin betara.
Kumpulan nelayan beroperasi dari Pengkalan Balak, Alor Gajah turut menerima kesan angin kencang yang semakin kuat pagi ini yang menyebabkan mereka tidak mampu merawai.
Mohd Ali Abu Bakar, 50, berkata perubahan monsun menyebabkan nelayan tidak tahu sama ada boleh turun ke laut atau sebaliknya kerana cuaca boleh berubah dengan pantas.
“Contohnya, pagi semalam angin selatan, tetapi tiba-tiba sahaja berubah menjadi angin Timur Laut pada petang,” katanya.
Sumber: BH Online