Persiapan UMNO dan Barisan Nasional berada di tahap tertinggi hadapi PRU-15
Persiapan UMNO dan Barisan Nasional berada di tahap tertinggi hadapi PRU-15
LIPIS – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Lipis kini berada pada tahap persiapan yang tinggi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-15) yang dijangka diadakan pada bulan November ini
Keyakinan tersebut disuarakan oleh Ketua Umno bahagian, Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Katanya, persediaan dan simulasi yang telah diadakan sebelum ini menunjukkan kecenderungan pengundi memilih Barisan Nasional bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Lipis.
“Kecenderungan ini berasaskan maklum balas yang diberikan terhadap perkhidmatan serta kebajikan yang dihulurkan oleh kepimpinan BN di Lipis selain kerap turun padang bertemu masyarakat di sini.
“Saya melihat gerak kerja yang ditunjukkan oleh semua lapisan kepimpinan sama ada peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri adalah pada tahap yang tinggi. Ini sekaligus menunjukkan kita bersedia mempertahankan parlimen dan DUN di bawah Lipis,” katanya.
Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, berkata demikian menerusi ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lipis yang turut dihadiri seramai 500 orang perwakilan..
Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lipis, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi, Naib Ketua UMNO Bahagian Lipis, Dato’ Mustapa Long, Ketua Pemuda Bahagian, Saudara Farid Mohd Nor serta barisan kepimpinan tertinggi UMNO Bahagian Lipis.
“Tahniah saya ucapkan kepada semua perwakilan kerana catatkan 100 peratus kehadiran dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian hari ini.
“Tiada yang lebih menggembirakan daripada menyaksikan sendiri pejuang-pejuang bangsa ini hadir penuh ikhlas menjalankan amanah, memenuhi syarat dalam perlembagaan parti,” katanya.
Katanya, tidak ada masa yang banyak namun, beliau yakin persiapan UMNO dan BN berada di tahap tertinggi dalam menghadapi PRU-15.
Mengulas mengenai kerjasama dengan PAS, beliau berkata BN sudah bersedia untuk bergerak bersendirian tanpa bergabung dengan mana-mana parti.
Abdul Rahman turut menyatakan tekad untuk menyumbangkan 1 kerusi Parlimen BN dan 3 kerusi Dun dalam PRU-15 dengan majoriti yang lebih besar.
Sebagai rekod, Barisan Nasional Parlimen Lipis telah memenangi semua kerusi Dun dan Parlimen dalam PRU-14 yang lalu.-SAHIH.