PERSATUAN PENGILANG & INDUSTRI PERKHIDMATAN BUMIPUTERA MALAYSIA TIDAK SETUJU PKP MENYELURUH
PERSATUAN PENGILANG & INDUSTRI PERKHIDMATAN BUMIPUTERA MALAYSIA TIDAK SETUJU PKP MENYELURUH
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM) tidak bersetuju cadangan beberapa pihak supaya kerajaan menutup sepenuhnya sektor ekonomi seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
Presiden PPIPBM, Datuk Azman Yusoff, berkata ini kerana lebih 5,000 ahli persatuan yang terdiri daripada syarikat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro menanggung kerugian sejak pandemik melanda negara.
Katanya, “Justeru PPIPBM tidak bersetuju sekiranya cadangan menutup sepenuhnya sektor ekonomi dilaksanakan kerajaan ke atas industri yang sedang beroperasi ketika ini.
“Malah sehingga kini ada pengilang masih perlu membayar pinjaman, sewaan premis dan gaji pekerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Azman berkata, pekerja di sektor itu juga penting dan tempoh pandemik memberi kegusaran kepada mereka bagaimana untuk meneruskan kehidupan apabila dibuang kerja jika ahli persatuan tidak lagi mampu menanggung kerugian.
Katanya, masalah kewangan juga jelas mampu memberi kesan kepada keharmonian dan kesihatan mental sekeluarga.
Beliau berkata, pihaknya maklum mengenai peningkatan kes COVID-19 ketika ini dan pelaksanaan PKP bermula 12 Mei sehingga7 Jun ini di seluruh negara.
Namun katanya, PKP kali ini membenarkan sektor ekonomi termasuk sektor perkilangan dan perkhidmatan terus beroperasi di seluruh negara.
“Malah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan memaklumkan SOP Am PKP adalah berdasarkan SOP PKP sedia ada, kecuali aktiviti makan di restoran tidak dibenarkan.
“Oleh itu PPIPBM berpendapat langkah ‘total lockdown’ tidak sesuai buat masa ini sebaliknya kerajaan perlu menumpukan usaha percepatkan pembekalan dan pengedaran vaksin selain menguatkuasa pematuhan SOP oleh masyarakat di semua peringkat,” katanya, lapor BH ONLINE.
Namun katanya, PPIPBM bersimpati dengan tekanan pasukan barisan hadapan dan memahami kekangan sistem kesihatan negara yang kini menghampiri kapasiti penuh.