PERSATUAN PENGGUNA PULAU PINANG NASIHAT JANGAN KERAP KE PASAR AWAM
PERSATUAN PENGGUNA PULAU PINANG NASIHAT JANGAN KERAP KE PASAR AWAM
GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta orang ramai supaya tidak berkunjung ke pasar awam setiap hari atau dengan kerap buat sementara waktu bagi mencegah penularan COVID-19.
Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan lawatan harian ke tempat tumpuan ramai dalam usaha memutuskan rantaian pandemik itu.
Pegawai Pendidikan CAP NV Subbarow berkata, sejak kebelakangan ini warga emas dan kanak-kanak semakin ramai dilihat mengunjungi pasar awam. Tindakan itu menunjukkan mereka sudah tidak peduli mengenai penularan COVID-19.
“CAP percaya penularan COVID-19 boleh menurun sekiranya pengguna tidak berkunjung ke pasar awam dengan kerap atau setiap hari. Jika tidak kita akan mengalami lebih daripada 5,000 atau lebih peningkatan kes dan kerjasama orang awam amat penting,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Subbarow berkata, pengguna pergi ke pasar setiap hari bagi membeli sayur-sayuran dan bahan lain untuk memasak namun ada yang menghabiskan masa berjam-jam di pasar tetapi hanya membeli satu barang, lapor BH ONLINE.
Dengan itu CAP menyarankan pengguna supaya merancang bagi membeli keperluan selama tiga hingga empat hari sekali gus.