PERMOHONAN PEJUANG & MUDA DITOLAK KERANA FAKTOR TEKNIKAL
PERMOHONAN PEJUANG & MUDA DITOLAK KERANA FAKTOR TEKNIKAL
PUTRAJAYA: Permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) ditolak berikutan kegagalannya mematuhi peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), berkaitan dengan perlembagaan parti.
GAMBAR IHSAN BH ONLINE
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata antaranya intipati dalam perlembagaan kedua-dua parti yang tidak teratur serta tidak spesifik.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikesan dalam perlembagaan parti yang disertakan menerusi permohonan MUDA ialah tidak menyatakan had usia maksimum ahli parti, memetik laporan BH Online.
Katanya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sepatutnya membaca terlebih dahulu permohonan pendaftaran partinya sebelum menyalahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara (RoS) dan menteri atas kegagalan mendaftarkan MUDA.
GAMBAR IHSAN MALAYSIAKINI
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan usia mengundi seawal 19 tahun tetapi dia letak keahlian minimum 16 tahun.
“Selain itu, tiada had usia maksimum ditetapkan, jadi kalau berusia 41 tahun adakah masih menjadi ahli,” katanya pada satu sidang media khas mengenai penolakan permohonan pendaftaran MUDA dan PEJUANG hari ini.