PERLU SURAT LALU TOL
Berita Nasional
PERLU SURAT KEBENARAN POLIS
KUALA LUMPUR: Orang ramai yang perlu merentas negeri atau daerah menggunakan laluan Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Rawang dekat sini, perlu mempunyai surat kebenaran daripada polis untuk berbuat demikian.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata hanya mereka yang mempunyai urusan penting seperti hal kecemasan dan pekerja di sektor perkhidmatan penting diberi kebenaran.
Arifai berkata, Polis Gombak mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di laluan keluar dan masuk Plaza Tol Gombak serta Rawang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan sejak Rabu minggu lalu hingga 27 Oktober ini.
“Justeru, orang ramai yang tinggal di sekitar daerah Gombak atau perlu menggunakan dua laluan itu bagi tujuan penting dinasihatkan mendapatkan surat kebenaran merentas daerah atau negeri daripada ketua balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.
“Bagi pekerja di sektor perkhidmatan penting, memadai dengan hanya menunjukkan pas pekerja atau surat pengesahan daripada majikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, masyarakat dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi PKPB dan sekiranya ingkar, mereka akan dikenakan tindakan kompaun.
Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262 240 atau 03-61262 247 untuk sebarang aduan atau pertanyaan.