PERLU SISTEM SOKONGAN JIKA KUARANTIN DI RUMAH
PERLU SISTEM SOKONGAN JIKA KUARANTIN DI RUMAH
KUALA LUMPUR: Pesakit COVID-19 yang menjalani kuarantin di rumah, perlu ada sistem sokongan terutama daripada keluarga, untuk memberi maklum balas kepada hospital atau Pejabat Kesihatan jika gejala semakin teruk.
Pakar kesihatan awam berpandangan, sudah tiba masanya untuk keluarga berperanan sebagai frontliners dan melaksanakan tanggungjawab menjaga ahli yang menjalani arahan kuarantin itu.
PROF DR SHARIFA EZAT WAN PUTEH
Pakar Kesihatan Awam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata sokongan keluarga dan komuniti sangat penting kerana pesakit terpaksa bergantung pada orang lain untuk membantu keperluan mereka sepanjang tempoh kuarantin.
“Ia bagi mengelakkan penyakit mereka yang dikuarantin di rumah itu semakin melarat sehingga membawa maut, terutama golongan sudah berusia dan mempunyai komorbiditi.
“Justeru, saringan perlu dilakukan bagi mengenal pasti risiko pesakit terbabit sebelum mereka diarah duduk di rumah,” katanya kepada BH Online.
Semalam, media melaporkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, sebagai berkata sejak 1 Januari lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan pesakit COVID-19 Tahap Satu dan Dua menjalani rawatan serta kuarantin di rumah, dengan pemantauan ketat petugas kesihatan.
GAMBAR HIASAN
Bagaimanapun, Dr Adham menjelaskan, pesakit yang bergejala akan dirawat di hospital dan menjalani proses pemantauan seperti biasa.
Mengulas lanjut, Dr Sharifa Ezat memaklumkan bahawa di beberapa negara maju, mereka yang dikuarantin di rumah dibantu sistem teknologi maklumat (IT) dalam telefon bimbit atau Sistem Maklumat Geografi (GIS) bagi mengawasi pergerakan mereka.
“Bagaimanapun, sistem terbabit belum digunakan di negara ini, justeru terpulang kepada kejujuran masing-masing.
“Penerangan dan pendidikan kesihatan harus diberikan kepada keluarga pesakit bagi memastikan pesakit serta keluarga mereka memahami risiko dan carta alir jagaan,” katanya.
Selain itu dalam keadaan tertentu, beliau berkata, ada pesakit yang tiada gejala tetapi tidak sesuai menjalani kuarantin di rumah kerana faktor saiz kediaman yang kecil dan jumlah ahli rumah yang ramai.
“Bagi kes warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) yang tiada sokongan keluarga, mereka perlu menjalani rawatan di pusat kuarantin.
“Namun jika kes sesuai, eloklah mereka dijaga di rumah saja, terutama ketika pusat kuarantin sudah terbeban dengan jumlah pesakit yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam di Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Aidalina Mahmud, berkata ahli keluarga yang berperanan sebagai frontliners tidak perlu takut atau risau untuk menjaga ahli keluarga dijangkiti COVID-19.
“Mereka cuma perlu mematuhi arahan KKM mengenai cara menjaga ahli keluarga yang dikuarantin.
“Pesakit dan keluarganya perlu saling memberi sokongan moral. Ini kerana pesakit memang mengalami tekanan dan yang menjaga juga mungkin mengalami masalah sama.
“Justeru, semua pihak mesti sentiasa bersikap positif dan bersabar. Tempoh kuarantin itu bukan lama, iaitu hanya dua minggu,” katanya.