Perkim Bera buka pusat warga emas
Foto : Juhari (enam dari kiri), AJK Perkim Bera dan Pengurusan PJMM, PJI, PJNH serta KESUMA ’24 merakamkan kenangan selepas melawat persekitaran tanah untuk tapak bangunan pusat jagaan yang akan dibuka.
Perkim Bera buka pusat warga emas
PERTUBUHAN Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Bera, Pahang, melakukan pelbagai urusan dalam usaha membuka pusat jagaan warga emas di daerah berkenaan terutama selepas mendapat sokongan dan kerjasama banyak pihak untuk merealisasikan kerja amal kebajikan itu.
Selain mendapat perhatian bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, usaha itu juga turut menarik sokongan moral daripada Pegawai Daerah Bera, Datuk Ahmad Nasim Datuk Mohd Sidek yang dilantik sebagai penaung projek itu.
Pengerusi Perkim daerah itu, Juhari Abdul Kadir, berkata pelantikan pegawai daerah sebagai penaung memberi suntikan semangat kepada keseluruhan ahli jawatankuasa (AJK) pembukaan pusat jagaan berkenaan kerana akan membantu dalam urusan pengambilalihan tanah, pengukuran tapak dan sebagainya.

Juhari menunjukkan kawasan persekitaran pejabat Perkim Bera yang akan dibersihkan untuk penyediakan kawasan pusat jagaan.
Menurutnya, paling menggembirakan apabila ramai ahli jawatankuasa yang dilantik bagi menjayakan projek itu merupakan dalam kalangan profesional dan mereka yang berjaya dalam kerjaya masing-masing bersedia membantu serta berkongsi idea bagi memastikan pusat jagaan warga emas berjaya dibuka.
Tambahnya, keluasan tanah mendirikan bangunan kekal pusat jagaan itu sudah dikenal pasti cuma menunggu kerja peta topografi dilakukan oleh pihak bertauliah bagi mendapatkan kesahihan yang boleh diterokai atau diguna pakai.
“Ia juga bagi mengelak daripada termasuk dalam tanah rezab kerajaan kerana pusat jagaan ini berhampiran jalan utama Pekan Bera di samping memastikan selamat untuk mendirikan bangunan yang akan dilengkapi pelbagai kemudahan asas.
“Perkim dan ahli jawatankuasa projek ini perlu lebih cakna dalam meneliti pelbagai perkara supaya tidak menganggu kepentingan awam kerana apabila bangunan pusat jagaan didirikan ia akan kekal lama di situ di samping memerlukan sokongan dan kerjasama masyarakat setempat untuk beroperasi,” ujarnya ketika memberi taklimat ringkas kepada pengurusan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) dan Pusat Jagaan Insan (PJI), Semenyih, Selangor serta Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor di Pejabat Perkim daerah itu baru-baru ini.
Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Pengerusi PJI, Muhammad Syafiq Mohiadin; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; serta AJK Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24), Zaiton Yaacob, Norizan Tauhid, Setiausaha Rozita Yaakob; dan Pegawai Sosial Perubatan Hospital Bera, Azhar Ahmad hadir dalam taklimat berkenaan di samping melihat tapak untuk dibangunkan bangunan pusat jagaan itu.
Juhari berkata, sebaik sahaja kerja peta topografi siap sepenuhnya Perkim Bera akan mengusulkan segera permohonan kepada pelbagai pihak berkuasa terbabit bagi mendapatkan kelulusan yang mungkin akan melalui banyak tapisan sebelum kebenaran diberikan.
Menurutnya, Perkim Bera akur setiap peraturan atau syarat yang ditetapkan pihak berkuasa terbabit kerana pusat jagaan itu nanti akan menempat warga emas yang tersisih, orang kelainan upaya (OKU), gelandangan, sebatang kara, uzur dengan menghidap penyakit dan sebagainya.
Tambahnya, walaupun akan diuruskan di bawah kerja amal kebajikan namun warga emas yang akan ditempatkan perlu mendapat kebenaran daripada ahli keluarga atau sanak saudara, direkodkan untuk makluman pihak berkuasa terbabit bagi mengelak berlaku perkara berbangkit.
“Pusat jagaan ini bukan setakat menjaga warga emas dari segi makan, minum, pakaian dan mendapatkan rawatan kesihatan sahaja, mereka juga akan mengikuti aktiviti keagamaan seperti kelas agama dan mengaji kerana pusat tahfiz juga akan diwujudkan.
“Kami berharap pusat jagaan ini dapat beroperasi pertengahan tahun 2025 dan untuk permulaan Perkim Bera akan mengambil kira-kira 50 warga emas sahaja, bagaimanapun ia bergantung kepada prasarana yang bakal disediakan demi keselesaan mereka,” ujarnya lagi.-SAHIH.