PERKASA RUKUN NEGARA DI SEKOLAH
PERKASA RUKUN NEGARA DI SEKOLAH
ALOR STAR: Ikrar Rukun Negara perlu diperkasakan di setiap kali majlis perhimpunan rasmi sekolah agar generasi muda, terutama di kalangan murid sekolah untuk terus menghayati ikrar itu yang diperkenalkan sejak 1970 lagi.
Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia barat (KGMMB), Jasni Md kecik berkata, keadaan semasa telah memberi isyarat mula lunturnya penghayatan Rukun Negara kebelakangan ini.
Katanya, Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia yang dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis gerakan Negara iaitu setahun selepas berlakunya tragedi negara pada 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.
“Sewajarnya ikrar ini (Rukun Negara) perlu diperkasakan untuk meningkatkan jati diri dan memperkukuhkan sikap patriotisma khususnya di kalangan murid sekolah dengan bantuan guru untuk memberi penjelasan yang terbaik.
“Tanda-tanda lunturnya semangat patriotisma kepada negara mula ada kebelakangan ini melalui pemerhatian umum di media sosial, ada yang menghina kesetiaan negara, mempersenda keluruhan perlembangaan dan permainkan kedaulatan undang-undang ” katanya.
Katanya, terdapat segelintir warga negara ini mula ‘melanggar Rukun Negara’ dengan ada yang memberi kata-kata atau kenyataan kesat dan buruk kepada negara melalui media sosial.
“Selain itu, pihak sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri sewajarnya mengadakan pelbagai program yang berkaitan dengan Rukun Negara.
“Sebelum ini pernah dilakukan pelbagai program, tetapi keberkesanannya mula luruh, oleh itu perlu dipertingkatkan dengan penerangan dan ‘taksiran’ Rukun negara yang jelas kepada pelajar,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Permuafakatan Guru (Kongres) berharap pihak kementerian pendidikan bekerja sama dengan agensi kerajaan lain untuk memperhebatkan dan memperkasakan program Rukun Negara.- SAHIH