Perkasa koperasi Asia Pasifik
Perkasa koperasi Asia Pasifik
BANGKOK: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyokong usaha memperkukuh penglibatan Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik bagi memperluas jangkauan keanggotaan serta memperkasakan peranan koperasi di rantau Asia Pasifik.
Presiden ANGKASA merangkap Naib Presiden International Cooperative Alliance Asia and Pacific (ICA-AP), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, lembaga itu perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memperluas keanggotaan di subrantau masing-masing.
Menurutnya, antara cadangan dikemukakan ialah penubuhan kumpulan kecil keanggotaan bagi memperkukuh penglibatan anggota dalam pelaksanaan program koperasi.

Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah – PRESIDEN ANGKASA
“Kerjasama strategik antara koperasi di peringkat serantau bukan sahaja mampu memperluas peluang perniagaan, malah mengukuhkan peranan koperasi sebagai model ekonomi berteraskan rakyat yang mampu menjana perubahan sebenar menerusi matlamat bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Lembaga Serantau ICA-AP yang berlangsung di sini, semalam.
Menurutnya, ANGKASA akan terus memperkasa peranannya mewakili Malaysia melalui penubuhan Malaysia Business Office (MBO) sejak 2013 serta tanggungjawab mempengerusikan Jawatankuasa Perniagaan dan Perdagangan ICA-AP.
Katanya, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan pelancongan koperasi serta mempergiat pemasaran produk koperasi selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Komitmen memperkukuh jaringan koperasi amat penting bagi memastikan gerakan koperasi terus relevan sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, ANGKASA sebagai badan puncak gerakan koperasi negara turut berperanan sebagai pemudah cara dalam merapatkan jurang serta membuka peluang penyertaan ekonomi kepada 16,342 koperasi dengan keanggotaan 7.4 juta individu.
Mesyuarat dipengerusikan Presiden ICA-AP, Chandrapal Singh Yadav itu menghimpunkan kepimpinan koperasi dari pelbagai negara Asia Pasifik bagi membincangkan hala tuju pembangunan koperasi di rantau berkenaan.
Turut hadir Naib Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga ICA, Kamarudin Ismail.-SAHIH
